CALON Pilihan Raya Kecil Port Dickson Isa Samad berkata beliau tidak mengarahkan anaknya, Mohd Najib Isa, untuk membantu kempennya.
Najib adalah ketua Pemuda Umno Port Dickson. Umno yang memboikot dengan tidak meletakkan calonnya pada PRK tersebut juga melarang semua ahlinya daripada berkempen di sana.
Isa keluar daripada Umno untuk bertanding PRK tersebut.
Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata terpulang kepada parti itu untuk mengambil tindakan anaknya itu.
“Terserah kepada Umno nak ambil tindakan, dia punya hal, kalau dalam peraturan kena ambil tindakan, ambil tindakanlah, kalau dia (Najib) berani buat berani tanggunglah,” kata Isa, ketika ditemui dalam kempennya di Kg Bagan Pinang, di Port Dickson, petang tadi.
Isa yang berkhidmat sebagai menteri besar selama 22 tahun itu juga berkata, pihaknya juga tiada cadangan supaya anaknya, Najib turut sama meninggalkan Umno.
“Tidak ada (nasihat Najib keluar Umno), ikut suka dialah, dia pun dah besar, tidak ada (suruh Najib bantu kempen), faham sahajalah kan,” katanya.
Isa menegaskan, Umno seharusnya kecewa dengan tindakan mereka untuk tidak membantunya kerana penyertaannya dalam PRK itu adalah untuk menentag Pakatan Harapan (PH) dan PAS yang juga seteru politik mereka.
“Banyak parti lain lagi, apa kecewa, saya dah kena gantung tiga tahun, tiada hal pun saya.
“Dia (Najib) pun dah besar, dia pun dah lama dalam politik, Umno patut kecewa, saya lawan musuh mereka,” kata Isa lagi.
Isa merupakan salah seorang daripada lima calon yang bertanding atas tiket bebas dalam PRK Parlimen Bandar Tentera Darat itu.
PH meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon mereka, manakala PAS menurunkan veteran TUDM berpangkat kolonel, Mohd Nazari Mokhtar.
Calon bebas lain termasuklah bekas pembantu Anwar yang terkait dalam kes liwatnya, Saiful Bukhari Azlan, serta Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.
Isa merupakan anak jati Port Dickson dan pernah berkhidmat sebagai adun di dalam Parlimen berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson. – 1 Oktober, 2018.
Komen