Mahkamah Jerman benarkan diplomat Iran diekstradisi


Mahkamah Agung Bamberg dalam kenyataan berkata pada 27 September ia sudah meluluskan ekstradisi seorang diplomat Iran di Vienna yang dikenali sebagai Assadollah Assadi. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2018.

SEBUAH mahkamah Jerman hari ini membenarkan seorang diplomat Iran yang dikaitkan dengan plot pengemboman perhimpunan pembangkang Iran diserahkan kepada Belgium.

Mahkamah Agung Bamberg dalam kenyataan berkata pada 27 September ia sudah meluluskan ekstradisi seorang diplomat Iran di Vienna yang dikenali sebagai Assadollah Assadi.

“Lelaki dihendaki itu tidak boleh memetik imuniti diplomatik kerana dia sedang bercuti beberapa hari di luar negara tuan rumahnya Austria dan tidak mengembara antara negara tuan rumah dan negara asalnya,” kata mahkamah.

Rancangan suspek menyasarkan perhimpunan Majlis Penentangan Negara Iran (NCRI) di pinggir Paris terbongkar beberapa hari selepas majlis yang diadakan pada 30 Jun itu.

Enam orang ditahan di Belgium, Perancis dan Jerman, dua sudah dibebaskan.

Pendakwa raya Jerman berkata Assadi yang dipercayai seorang agen perisik mengarahkan beberapa serangan terhadap perhimpunan itu dan menyerahkan bahan letupan pada satu pertemuan Jun lalu di Luxembourg.

Tehran menafikan dakwaan rancangan bom itu, menyifatkannya sebagai “rancangan jahat” yang dirancang untuk menyalahkan Iran ketika negara itu berdepan kemelut diplomatik dengan Amerika Syarikat.

Perhimpuna pembangkang Iran di Paris itu dihadiri beberapa sekutu Presiden AS Donald Trump, termasuklah bekas gabenor New York Rudy Guiliani dan bekas speaker dewan Newt Gingrich, kedua-duanya menggesa perubahan kerajaan di Iran.

Julai lalu, pihak berkuasa Belgium memohon ekstradisi Assadi dan seorang suspek dikenali sebagai Merhad A yang ditahan di Paris.

Polis Belgium percaya Merhad adalah rakan subahat pasangan suami isteri yang ditahan di Brussels kerana memiliki 500 gram bahan letupan TATP.

Pasangan itu dikenali sebagai Amir S dan Nasimeh N.

Semua mereka adalah warga Belgium berketurunan Iran. – AFP, 1 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen