Korea Selatan, Utara mula alihkan periuk api di sempadan


Tentera Korea Selatan menunjukkan kepada wartawan lokasi periuk api yang ditanam di sempadan Korea. – Gambar AFP, 1 Oktober, 2018.

DUA negara Korea hari ini mula mengeluarkan periuk api yang ditanam di satu bahagian sempadan kedua-dua negara sebagai sebahagian perjanjian untuk meredakan ketegangan tentera.

Perjanjian antara Korea Utara dan Korea Selatan itu, dicapai pada pertemuan Presiden Moon Jae-in dan rakan sejawatnya Kim Jong-un di Pyongyang pada bulan lalu.

Pertemuan itu merupakan yang ketiga antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini.

Menurut kenyataan kementerian pertahanan Korea Selatan, kedua-dua pihak memulakan tugas mengeluarkan periuk api di Kawasan Keselamatan Bersama (JSA) untuk tempoh lebih 20 hari.

JSA yang juga dikenali sebagai perjanjian kampung Panmunjom, merupakan satu-satunya kawasan yang menyaksikan tentera kedua-dua negara bersemuka secara berdepan.

Kawasan itu sering digunakan untuk rundingan antara kedua-dua negara.

Lebih 800,000 periuk api dipercayai ditanam di sepanjang kawasan sempadan semasa dan selepas Perang Korea 1950-53. – AFP, 1 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen