Iran lancar peluru berpandu ke Syria, sasar kumpulan pengganas


Gambar yang disiarkan oleh Tentera Pengawal Revolusi Iran menunjukkan serangan peluru berpandu yang dilancarkan ke Syria. – Gambar AFP, 1 Oktober, 2018.

TENTERA elit Iran hari ini melancarkan serangan peluru berpandu ke Syria sebagai membalas serangan pengganas yang mengorbankan 24 orang di bandar Ahvaz di negara itu pada bulan lalu.

Presiden Iran Hassan Rouhani berikrar untuk bertindak balas atas kejadian itu yang didakwa didalangi kumpulan militan Daesh.

“Ibu pejabat kumpulan yang bertanggungjawab melancarkan serangan berdarah di Ahvaz telah diserang menerusi peluru berpandu Tentera Pengawal Revolusi Iran,” kata tentera itu menerusi kenyataan dalam laman webnya.

“Berdasarkan laporan awal, ramai pengganas dan pemimpin mereka yang terlibat dalam serangan di Ahvaz, terbunuh atau cedera,” kata kenyataan itu.

Serangan peluru berpandu itu dilancarkan ke pekan Albu Kamal di wilayah timur Syria, Deir Ezzor.

Iran menggunakan peluru berpandu jarak sederhana Zolfaghar dan Qiam yang mampu mencapai jarak antara 750 kilometer hingga 800 kilometer.

“Setiap satu misil itu tertulis ‘kematian untuk Amerika’, ‘kematian untuk Israel’, dan ‘kematian untuk Saudi,” jelas kenyataan itu.

Dalam serangan di Ahvaz pada bulan lalu, empat penyerang bersenjata melepaskan tembakan rambang ketika satu majlis perarakan tentera Iran diadakan.

Keempat-empat penyerang itu kemudiannya ditembak mati manakala orang awam antara mangsa yang terbunuh dalam tragedi tersebut. – AFP, 1 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen