Hannah diselar ekoran gesaan hentikan gerakan ‘Sarawak untuk Orang Sarawak’


Desmond Davidson

TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak James Masing mengkritik Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Kemajuan Masyarakat Hannah Yeoh ekoran dakwaannya gerakan ‘Sarawak untuk orang Sarawak’ akan memecahkan masyarakat dalam negara.

Berkata di sebuah forum ‘Hari Patriotik’ di Kuching,  Sabtu  lalu. Yeoh mengatakan gerakan itu akan menghalang usaha-usaha untuk menerapkan konsep Malaysia Baharu.

Masing berkata Yeoh tidak sepatutnya mengajar penduduk Sarawak mengenai polarisasi kaum sedangkan negeri itu memiliki penduduk pelbagai kaum dan agama yang sentiasa bekerjasama antara mereka.

“Walau apa pun yang Pakatan Harapan (PH) fikir mengenai Najib Razak dan Barisan Nasional, ada satu perkara yang beliau buat betul, iaitu konsep 1 Malaysia,” kata Masing melalui aplikasi Whatsapp kepada The Malaysian Insight.

Konsep 1 Malaysia dilaporkan diuar-uar dengan asas toleransi sesama kaum dan agama yang wujud di Sarawak.

Masing yang ketika ini berada di Amerika Syarikat adalah salah seorang delegasi Ketua Menteri Abang Johari Openg ke sana untuk mencari peluang pelaburan.

“Tanpa mengendahakn kaum dan agama, penduduk Sarawak boleh makan di satu meja tanpa berkongsi makanan mereka  dan tidak wujud pertikaian mengenai agama kerana kami berdoa kepada Tuhan untuk tidak sombong kepada jiran-jiran mengenai pegangan moral agama kami,” kata beliau menjelaskan perbezaan berbanding perpecahan yang ada antara kaum di semenanjung yang tercetus akibat perkauman dan pelampau agama.

“Jangan ceramah kepada kami mengenai warga Malaysia yang baik. Kami memang warga Malaysia yang baik.

“Kami tak curi harta orang untuk mengayakan negeri,” kata Masing merujuk dakwaan Sabah dan Sarawak bahawa Putrajaya mengaut sumber hasil minyak dan gas negeri itu.

Sarawak dan Putrajaya menyaksikan pertikaian yang tak kunjung padam mengenai jumlah royalti yang sepatutnya dinikmati negeri itu daripada hasil minyak dan gas.

Ketika ini, jumlah royalti yang ditetapkan adalah 5%, namun negeri itu menuntut jumlah tersebut dinaikkan kepada 20%- satu jumlah yang didakwa akan membangkrapkan syarikat nasional Petronas menurut Putrajaya.

Sarawak memberi amaran untuk memutuskan perjanjian royalt dengan mengambil alih penguasaan sumber minyak dan gas dengan mengikut Ordinan Perlombongan Minyak (OMO).

Kumpulan pendesak hak Sarawak untuk Orang Sarawak (S4S) berkata kenyataan Yeoh dibuat berdasarkan tuntutan Putrajaya supaya Sarawak berhenti menuntut  pengembalian semula hak yang telah diambil daripada mereka mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

Jurucakap S4S EricLeong berkata Yeoh meminta penduduk Sarawak untuk “membiarkan Malaya tetapkan semua perkara” dan jangan menuntut hak mereka.

“Yeoh tidak datang ke Sarawak dengan ole-ole, sebaliknya dengan kritikan yang banyak. Sedangkan sejak penubuhan Malaysia, Sarawak telah menyumbang dalam pembinaan Malaysia dengan membiarkan Petronas mengambil hasil minyak dan gas di dalam negeri.

“Walaupun dah banyak menyumbang, kami tetap tak dilayan dengan penuh keadilan,”kata beliau lagi.

Leong berkata Sarawak adalah model sebuah masyarakat yang berintegrasi, dan semenanjung Malaysia perlu banyak mempelajari hal tersebut dari negeri itu.

“Mengenai perpaduan dan kesamarataan, semenanjung Malysia harus belajar dari Sarawak, daripada cuba mengajar rakyat Sarawak apa yang perlu dibuat, sedangkan Sarawak telah menunjukkan ia mempunyai masyarakat yang lebih berintegrasi dari semenanjung.”Kata beliau. – 1 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen