2 anggota polis ditahan SPRM kerana rasuah


MAHKAMAH Majistret Sungai Petani semalam membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengenakan reman selama empat hari ke atas dua anggota polis berpangkat koperal  yang ditahan atas dakwaan meminta RM10,000 daripada dua ah long.

Kedua-dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda itu, baru-baru ini menerima pujian kerana menolak rasuah daripada ah long yang sama, lapor New Straits Times.

Pengarah SPRM Kedah, Mohd Fauzi Mohamad dalam satu kenyataan berkata kedua-dua anggota polis berusia 34 dan 37 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah. Mereka ditahan SPRM pada Selasa kira-kira jam 2 petang.

Menurut NST, kedua-dua anggota polis itu menahan dua lelaki di Aman Jaya Mall di Sungai Petani pada 11 April kerana disyaki melakukan kegiatan pinjaman wang haram. Mereka didakwa ditawarkan RM1,290 oleh kedua-dua ah long, masing-masing berumur 26 dan 25 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua anggota polis itu menolak suapan itu dan menahan suspek, sebelum menyerahkannya ke pejabat SPRM di Sungai Petani, bersama-sama dengan wang tunai sebagai bukti. Mereka kemudiannya diberikan ganjaran kerana kejujuran mereka dalam menolak rasuah.

Ah long yang disyaki dibebaskan SPRM dua hari kemudian, dengan salah seorang daripada mereka kemudian membuat laporan polis mendakwa anggota polis itu meminta RM10,000 daripada mereka.

Polis, bagaimanapun, berkata mereka tidak menemui apa-apa bukti permintaan rasuah. Ah long yang disyaki kemudian mengemukakan aduan kepada SPRM. - 6 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen