Jangan jemput pihak asing selesai isu 1MDB, kata Hadi


Presiden PAS Hadi Awang berkata jangan biarkan pihak asing menyelesaikan skandal dalam negara seperti BMF, Perwaja Steel, Tabung Haji dan 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insigh, 24 Jun, 2017.

PRESIDEN PAS Hadi Awang hari ini mengambil pendirian berbeza berbanding rakan pemimpin dalam partinya atau parti pembangkang lain, berkata skandal kewangan seperti BMF, Perwaja Steel, Tabung Haji dan 1MDB perlu diselesaikan secara dalaman, bukannya menjemput bantuan pihak asing.

“Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.

“Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,” katanya.

Hadi berkata pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan rakyat Malaysia.

“Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita,” katanya.

Mengambil Sepanyol sebagai contoh, Hadi berkata kejatuhan Islam di negara Eropah itu berlaku selepas ada kalangan rajanya menjemput pihak asing supaya membantu memenangkannya dalam krisis dalaman.

Katanya, Islam yang bertapak di Sepanyol selama lapan abad akhirnya kecundang dan akhirnya cahaya Islam dipadamkan di Sepanyol sehingga kini.

Beliau berkata mereka yang mengundang pihak asing supaya mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya, di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman.

“Umat Islam juga perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini supaya dapat menilai sikap mereka terhadap mana-mana negara yang paling suka campur tangan dalam urusan negara lain dan negara yang paling dominan melebarkan Islamofobia.

“Selain itu juga, wajib memahami batas sempadan hubungan dengan semua pihak dalam masyarakat majmuk di semua peringkat tanpa menghakiskan maruah umat dan menjatuhkan kedaulatan negara,” katanya. – 24 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen