Nenek umur 99 tahun mahu bertanding lagi PRU14


Bekas calon bebas kawasan Parlimen Kuala Terengganu Maimun, 99, hanya mendapat 182 undi, kalah kepada Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang mewakili PAS ketika itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2018.

WALAUPUN umurnya hampir mencecah 100 tahun, Maimun Yusof, calon pilihan raya umum paling tua dalam sejarah Malaysia, tidak menolak kemungkinan untuk bertanding lagi sekiranya keadaan kewangannya mengizinkan.

Bekas calon bebas kawasan Parlimen Kuala Terengganu Maimun, 99, berkata beliau sedia bertanding kalau ada duit untuk jadi calon dan berkempen.

“Kalau ada pitih (wang) berasa nak juga masuk bertanding sekali lagi. Tapi nak buat macam mana le ni (sekarang ini), tok (Maimun) sudah tak ada pitih,” katanya, seperti dipetik Harian Metro.

Menurut Maimon, walaupun jadi calon pilihan raya sebelum ini menyebabkannya habis banyak duit, beliau tidak serik untuk mencuba lagi sekali kerana katanya beliau masih sihat lagi.

Menurut Maimun, beliau mungkin “tidak sempat” mengumpul sekurang-kurangnya RM10,000 deposit untuk bertanding di kerusi Dewan Rakyat itu tatkala PRU14 perlu diadakan sebelum Ogos ini.

Pada pilihan raya umum pada 2008 dan 2013, Maimun berkata beliau berbelanja kira-kira RM60,000 dalam kedua-dua pilihan raya itu untuk jadi calon dan berkempen. Pada kedua-dua pilihan raya umum itu juga, Maimun hilang wang pertaruhan.

Maimun, yang lebih senang dipanggil Tok Mun, sebelum ini menggamit perhatian apabila bertanding di kawasan parlimen Kuala Terengganu pada PRU ke-12 pada 2008 dan PRU13 lima tahun lalu. 

Penyertaan Maimun menjejaskan peluang Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang ketika itu bertanding sebagai calon PAS. Mohamad kalah kepada calon Barisan Nasional Razali Ismail dengan 628 undi.

Nenek yang berkempen hanya dengan berbasikal dan berjalan kaki dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu itu mendapat 685 undi.

Pada 2013, beliau hanya mendapat 182 undi, kalah kepada Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang mewakili PAS ketika itu. – 19 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen