Tarif elektrik tak naik 3 tahun di Semenanjung, 6 bulan di Sabah, Labuan


Jason Santos

TIADA kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh tiga tahun akan datang manakala Sabah dan Labuan sehingga Jun tahun depan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dr Maximus Ongkili.

Tarif elektrik sedia ada adalah 38.53 sen/kWh di Semenanjung dan 34.52 sen/kWh di Sabah serta Labuan dari 1 Januari hingga 30 Jun 2018.

“Bagi Semenanjung Malaysia, ini adalah penghujung fasa pertama bagi tempoh tiga tahun sistem kawal selia berasaskan insentif (IBR), yang berada di bawah konsep Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT), kajian dilakukan untuk menetapkan kadar tarif setiap tiga tahun.

“Kami kini bersedia untuk pelaksanaan fasa dua, dan Kabinet persekutuan, pada 13 Disember memutuskan untuk mengekalkan kadar ... sehingga 31 Disember 2020.

“Ini bermakna, tiada perubahan tarif domestik dan komersil (pengguna di Semenanjung) untuk tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Ongkili berkata kerajaan pusat akan membelanjakan RM929.37 juta dari 1 Januari hingga Jun 2018 untuk mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak RM1.80/kWh bagi pengguna dan sedang merancang melaksanakan sistem IBR pada Jun tahun depan.

“Kami cuba melaksanakan sistem IBR di Sabah dan Labuan pada Januari. Kementerian juga sedang berbincang dengan Sabah Electricity Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk pelaksanaan pada separuh tahun kedua 2018,” kata Ongkili.

Beliau berkata rebat untuk Sabah dan Labuan akan dikekalkan pada RM1.20 sen/kWh.

Sejak Mac 2015 hingga Jun 2018, Maximus berkata sejumlah RM6.3 bilion akan dibelanjakan bagi menyediakan rebat tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dan RM1.631 bilion untuk rebat bahan api serta tarif di Sabah dan Labuan.

Beliau berkata TNB akan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi memastikan bekalan tenaga yang efisien di Semenanjung.

Katanya, syarikat utiliti negara merancang untuk membangunkan Infrastruktur Permeteran Canggih dengan pemasangan 1.5 juta meter pintar di premis di beberapa bandar utama dan pemasangan saluran optik tambahan untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan keselamatan dalam membekalkan kuasa.

“Lampu jalan juga akan digantikan dengan mentol LED, sebanyak 10 buah universiti akan dipilih untuk memulakan projek suria, dengan setiap universiti mampu menghasilkan antara 200MW dan 20MW, dan yang terakhir RM1 bilion akan diperuntukkan oleh TNB di bawah program pendidikan lima tahun dari 2018 hingga 2022,” katanya. – 26 Disember, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • masa gst pun ckp arge brg x naik

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan