Usir pekerja China serang polis Malaysia


KEJADIAN serangan satu kumpulan rakyat negara China terhadap polis yang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang disyaki menjalani aktiviti perjudian haram, berlaku pada malam Sabtu, 11 November, 2017.

Kejadian berlaku di Jalan Abraham, off Jalan Khoo Teik Ee, Kuala Lumpur. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri. Dipercayai seramai 200 orang rakyat negara China menduduki beberapa rumah di kawasan berlakunya kejadian serangan itu.

Ini merupakan kejadian pertama melibatkan pekerja rakyat negara China dengan polis yang pada jangkaan kami boleh mencetuskan ketegangan keselamatan dalam negara. Pekerja rakyat negara China dikatakan memasuki negara ini dalam bilangan yang besar, dan sudah pun berada di beberapa negeri di tempat projek yang diusahakan oleh mereka sedang berjalan.

Umumnya kita tahu projek usaha syarikat negara China yang bernilai jutaan ringgit sedang berlaku di Johor, Melaka, Pahang dan Kuala Lumpur. Projek ini memerlukan ribuan tenaga kerja yang kesemuanya didatangkan dari China. Berkaitan ini adakah rakyat tempat mendapat peluang untuk bekerja dalam projek ini?

Persatuan Patriot Kebangsaan memandang serius kejadian serangan terhadap polis oleh rakyat China, dan mendesak pihak terlibat bertindak sekeras-kerasnya terhadap semua pesalah dengan mengusir keluar dari negara ini.

Ini harus dilakukan dengan serta merta. Kami tidak nampak sebarang kenyataan tegas yang dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab terhadap kejadian yang sangat serius ini. Perbuatan rakyat negara China ini melampaui batas dan memberi kesan negatif terhadap martabat negara kita.

Kerajaan harus ingat bahawa selain daripada pekerja dari China, terdapat pekerja dari negara Bangladesh, India, Indonesia, Myanmar dan Nepal yang bilangan mereka sudah menjangkau jutaan banyaknya.

Sekiranya kerajaan tidak menunjukkan ketegasan dalam menangani kejadian rusuhan seperti yang lakukan oleh rakyat China, kemungkinan kejadian yang sama boleh juga dilakukan oleh pekerja rakyat negara lain di negara ini.

Kerajaan perlu berhati-hati, ada kemungkinan pekerja China yang didatangkan ke negara ini sudah terlatih dalam ilmu ketenteraan. Jika ini benar, tidakkah mereka ini pada satu hari nanti boleh menjadi ancaman terhadap keselamatan negara ini?

Kami mendesak kerajaan supaya jangan sekali-kali memandang ringan terhadap tanggapan kami ini, malah harus proaktif dan menyiasat sama ada tanggapan kami ini benar ataupun tidak. Keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromikan, malah mesti dipertahankan oleh rakyat berbilang bangsa yang cinta akan tanah pusaka ini.

Persatuan Patriot Kebangsaan ingin menjemput para ahli masyarakat supaya melihat pasukan polis negara dari kancah mata yang positif. Dalam kejadian ini, anggota polis tersebut seseorang yang amat berani. Beliau menggadaikan nyawanya apabila berhadapan dengan kumpulan orang asing itu. Keberaniannya patut dipuji dan dikenang masyarakat.

Banyak anggota polis memerangi pelbagai jenayah demi menjaga keamanan negara. Mereka juga menghalang kemasukan pendatang haram dan menjaga lalu lintas di bandar-bandar besar.

Semasa darurat pada 1970-an, anggota polis terlibat dalam operasi menentang komunis. Pasukan polis, seperti anggota pasukan tentera, banyak berjasa kepada negara. – 13 November, 2017.

* Mohd Arhsad Raji ialah presiden Persatuan Patriot Kebangsaan.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen