Teguran pedih Ambiga kepada pembangkang


BELIAU pernah dianggap sebagai ancaman, diugut dengan kecederaan fizikal dan dipanggil pelbagai nama sejak muncul sebagai pejuang bagi pilihan raya bebas dan adil, sistem kehakiman dan kedaulatan undang-undang yang bebas di Malaysia sejak 10 tahun lalu, tetapi Ambiga Sreenevasan kekal optimistik mengharungi semuanya.

Sehingga kini.

Namun, putus asa mula merayap dalam dirinya dan kekecewaan itu dapat dirasai semasa beliau berbicara tentang perbalahan di antara pembangkang serta kegagalan melihat di luar konteks kepentingan peribadi dan parti sempit mereka.

Kata-kata beliau menyengat tetapi DAP, PAS, PKR, Amanah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu memberi perhatian kerana ini bukan komen pedas veteran parti atau lawan politik yang tidak puas hati.

Ambiga menjadi rakan kepada ahli politik pembangkang sebelum mereka merasai kejayaan di peti undi.

Beliau mempertahankan mereka di mahkamah dan juga memujuk bukan Islam memberi calon PAS mandat walaupun terdapat keraguan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia dan pengerusi Bersih itu berbicara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, memberikan pandangan mengenai pembangkang dan apa yang mereka perlu lakukan untuk memenangi keyakinan pengundi.

Di sini, beliau memberi beberapa persoalan kepada pembangkang untuk dihadamkan.

S: Adakah ahli politik pembangkang bersedia meletakkan negara di tempat pertama, di atas parti dan kepentingan peribadi?

“Jika anda mengatakan matlamat utama adalah untuk menyelamatkan negara, maka kepentingan peribadi dan parti perlu memberi laluan kepada apa yang terbaik untuk negara. Pada masa ini, ternyata tumpuan diberikan kepada kepentingan peribadi dan parti,” katanya, merujuk kepada pertengkaran dalaman dan ketidakupayaan mencapai kata sepakat mengenai perkara kepimpinan dan dasar.

Ia adalah rahsia terbuka Pakatan Harapan (PH) masih berbelah-bahagi mengenai siapa akan menjadi perdana menteri sekiranya ia memenangi pilihan raya umum akan datang. Nama Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Muhyiddin Yasin disebut-sebut sebagai calon perdana menteri yang berpotensi.

Tiada sehari berlalu tanpa kata-kata tajam yang saling berbalas antara PAS dan DAP atau PAS dan PPBM, parti diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Ambiga menegaskan pertengkaran ini memaksa sesetengah rakyat bertanya beberapa soalan yang sukar mengenai individu bakal menggantikan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya.

S: Mengapa anda layak menjadi kerajaan Malaysia akan datang?

Ya, pembangkang berjaya pada 2008, apabila menawan Pulau Pinang, Selangor dan Kedah dan menafikan BN dengan majoriti 2/3 di Parlimen.

Ya, pakatan pembangkang berjaya membuat kejutan seterusnya pada 2013.

Tetapi Ambiga percaya sikap berpuas hati menjadi penyebab dan pembangkang mengambil rakyat Malaysia secara sambil lewa, mempercayai ia boleh terus berkuasa berdasarkan apa yang dikatakan atau lakukan pada masa lalu.

“Pembangkang mempunyai orang yang bagus. Mereka mempunyai ramai bijak pandai. Jadi, mengapa begitu sukar memberitahu rakyat Malaysia apa dasar anda terhadap pendidikan, cukai dan isu lain?

“Mereka perlu menunjukkan mereka boleh menjadi kerajaan untuk semua. Dan satu-satunya cara rakyat boleh menilai sama ada pembangkang boleh menjadi kerajaan untuk semua adalah dengan menilai dasar dan rancangannya,” kata Ambiga.

S: Siapakah pemimpin utama anda?

Penyokong pembangkang dan masyarakat sivil menggesa PKR, DAP, Amanah dan PPBM menamakan calon perdana menteri dan Kabinet bayangan mereka.

Gesaan ditentang ahli politik pembangkang yang mengatakan calon pemimpin akan didedahkan selepas PRU14. Mereka bimbang penamaan Kabinet bayangan akan dijadikan peluru untuk BN menyerang dan mendorong pemberontakan di kalangan rakan-rakan gabungan dengan kekurangan kerusi.

Sebaliknya, pengkritik mendakwa kegagalan menamakan Kabinet bayangan adalah tanda gabungan tidak dapat bersetuju mengenai perkara utama.

Ambiga berkata: “Okay, jangan panggilnya Kabinet bayangan jika tidak mahu tetapi sekurang-kurangnya namakan 5 individu bagi jawatan penting atau adakan undian. Kita perlu melihat wajah…”

S: Apa yang berlaku kepada kerendahan hati?

Ambiga mahu pembangkang mengingati siapa mereka pada 2008 dan kembali kepadanya.

Ketika itu, mereka perlukan sokongan dan rendah hati adalah faktor tarikan utama.

Mereka bersedia mendengar, menerima kritikan dan menerimanya sebagai komen dan bermaksud baik.

“Dengan kerendahan hati datang bersama keupayaan mendengar kritikan,” katanya sambil menambah aduan yang semakin meningkat diterimanya adalah kejayaan menjadikan beberapa ahli politik pembangkang sombong.

Mereka tidak menerima baik jika pandangan dan idea dicabar serta cadangan ditawarkan dengan penghinaan.

Mengambil pendekatan ini, mereka mengasingkan masyarakat sivil, kata Ambiga.

“Kami mahu pembangkang lama kembali,” katanya.

Ambiga sedar sikap berterus-terangnya tidak akan dihargai ahli politik pembangkang dan penyokong mereka.

“Mereka akan menjadi sangat marah dengan apa yang saya katakan tetapi keutamaan saya adalah untuk memastikan negara ini selamat,” katanya, sambil menambah kecewa dengan pertengkaran dan masalah dalaman pembangkang boleh menjejaskan rakyat Malaysia daripada keluar beramai-ramai mengundi pada PRU14.

Pesanannya kepada pembangkang: ini adalah pilihan raya anda untuk kalah dan anda tidak boleh menyalahkan sesiapa tetapi diri sendiri jika tidak melakukannya dengan baik.

Dengan sokongan terhadap Perdana Menteri Najib Razak sekitar 20 mata dan kos sara hidup yang meningkat menjejaskan lebih banyak isi rumah, beliau tidak salah.

Keadaan di bawah sudah jelas tetapi ... – 31 Mac, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen