China bantu Filipina perangi dadah, keganasan


China menghantar sejumlah senjata api dan bahan letupan kepada Filipina untuk membantu negara itu memerangi militan di Marawi. – Gambar AFP, 29 Jun, 2017.

CHINA berjanji untuk meneruskan memberikan “bantuan yang diperlukan” kepada Filipina, sehari selepas Beijing menyumbang ribuan senjata kepada negara itu bagi membantu memerangi kumpulan bersenjata militan Islam.

Menteri Luar China Wang Yi mengeluarkan kenyataan itu semasa lawatan rakan sejawatnya dari Filipina, Alan Peter Cayetano dan berikrar China akan membantu usaha pembinaan semula bandar Marawi yang musnah dalam pertempuran itu.

“Semalam bantuan kecemasan pertama disampaikan kepada Filipina,” kata Wang semasa sidang media bersama di Beijing.

“Di masa depan, bagi memenuhi keperluan Filipina, kami akan terus menawarkan bantuan dan pertolongan yang diperlukan.

Sejumlah senjata api dan bahan letupan ialah bantuan ketenteraan pertama China sejak Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengancam akan mengalihkan sokongan Manila yang selama ini diberikan kepada Amerika dan menerima sokongan China.

Bantuan itu yang bernilai hampir 50 juta yuan (AS$7.35 juta) “menjadi petanda bermulanya zaman baru perhubungan Filipina-China”, kata Duterte.

Kedutaan AS di Manila awal bulan ini mengatakan yang pasukan tindakan khas AS membantu tentera Filipina, walaupun Duterte ada mengatakan yang dia tidak mengetahui mengenai bantuan teknial AS kepada tentera Filipina yang sedang bertempur di Marawi.

Kementerian Luar China mengesahkan yang mereka menghantar “bahan anti keganasan” atas permintaan kerajaan Filipina tetapi tidak menjelaskan kandungan bantuan itu.

Filipina yang mempunyai treati pertahanan dengan AS sudah lama bergantung kepada senjata api yang dibekalkan AS.

Tetapi Amerika yang mengkritik usaha memerangi dadah Duterte menyebabkan presiden itu mengatakan yang dia akan mendapatkan lebih banyak senjata dari China dan Rusia.

Duta China Zhao Jianhua yang menyerahkan bantuan senjata itu secara rasmi semalam mengatakan yang “bantuan kedua” akan dihantar tidak lama lagi.

“Bantuan itu tidak banyak tetapi bermakna kerana menandakan bermulanya era baru hubungan antara ketenteraan dua negara,” kata Zhao.

Tentera Filipina sejak lebih sebulan lepas sudah bertempur bagi mengusir militan di Marawi tetapi berdepan dengan tentangan sengit.

Wang berkata China akan bekerjasama dengan Filipina bagi menghapuskan “ancaman dadah haram dan ancaman keganasan”. – AFP, 29 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen