Qatar kecam Arab Saudi yang enggan berunding


Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani (kiri) dan Setiausaha Negara AS Rex Tillerson (kanan) sewaktu pertemuan antara Qatar dan Arab Saudi di Washington bagi mencari jalan perdamaian antara pihak bertelagah. Kuwait dan PBB menjadi orang tengah. – Gambar AFP, 28 Jun, 2017.

QATAR mengecam Arab Saudi yang enggan berunding mengenai tuntutan negara itu dan sekutunya bagi mengakhiri embargo ke atasnya.

Bercakap dari Washington, Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani yang sedang mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara AS Rex Tillerson berkata yang pendirian Saudi itu tidak boleh diterima.

“Ini bertentangan dengan prinsip yang mendasari hubungan antarabangsa kerana anda tidak boleh hanya menyerahkan tuntutan dan tidak mahu berunding,” kata Sheikh Mohammed dalam kenyataan yang dikeluarkan di Doha.

Rakan sejawatnya dari Saudi, Adel al-Jubeir yang juga berada di Washington tidak mahu berganjak daripada pendirian mereka dalam pertikaian yang berlangsung sudah lebih tiga minggu itu yang menyebabkan Qatar, sekutu Amerika terasing kerana sekatan perdagangan dan diplomatik yang dikenakan negara jirannya di Teluk Arab itu.

“Tuntutan kami kepada Qatar tidak boleh dirunding. Kini terpulang kepada Qatar untuk menghentikan sokongannya kepada pihak pelampau dan pengganas,” kata Jubeir menerusi Twitternya.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain mengumumkan pada 5 Jun lalu yang mereka memutuskan semua ikatan dengan Qatar, menuduh negara kecil kaya minyak itu menyokong kumpulan pelampau- tuduhan yang sudahpun dinafikan Qatar.

Mereka menutup ruang udara kepada syarikat penerbangan Qatar dan menyekal satu-satunya sempadan darat negara itu, laluan penting kepada import makanan. Mereka juga mengarahkan semua rakyat Qatar meninggalkan negara mereka dan pulang ke Qatar.

Minggu lepas, Riyadh memberikan 13 tuntutan kepada Qatar, termasuk menghentikan sokongan Doha kepada Ikatan Muslimim, penutupan Al-Jazera, mengurangkan ikatan diplomatik dengan Iran dan penutupan pangkalan tentera Turki di negara teluk itu.

Emiriah Arab Bersatu memberikan amaran supaya Qatar mengambil serius tuntutan itu atau berdepan “perceraian” daripada negara Teluk yang lain.

Kemelut antara sekutunya itu memberikan kesan kepada Washington ketika kempen menentang kumpulan militan IS sedang sampai ke kemucaknya di Iraq dan Syria.

Tillerson mengadakan pertemuan antara pihak yang bertelagah itu dengan Kuwait dan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjadi orang tengah. – AFP, 28 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen