Isa Samad, isteri hadir di SPRM bagi siasatan FGV


Muzliza Mustafa

Bekas pengerusi Felda Global Ventures Isa Samad dan isteri, Bibi Shaliza Mohd Khalid hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, pagi ini bagi membantu siasatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Jun, 2017.

BEKAS pengerusi Felda Global Ventures (FGV) Isa Samad yang baru sahaja melepaskan jawatannya dua hari lalu tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini untuk membantu dalam siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dalam syarikat itu.

Isa dan isteri, Bibi Shaliza Mohd Khalid tiba pada jam 9.40 pagi menaiki Toyota Lexus berwarna hitam.

Beliau disambut petugas media yang berada di situ sebelum berlalu pergi.

Isa melepaskan jawatannya beberapa jam selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Najib kemudian mengumumkan Dr Sulaiman Mahbob sebagai pengerusi FGV bagi menggantikan beliau.

Isa pula memegang jawatan di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat sebagai pemangku pengerusi selepas ia dibiarkan kosong selepas persaraan Syed Hamid Albar pada 3 Jun.

Isa yang kini terlibat dalam pertikaian terbuka dengan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Zakaria Arshad baru-baru ini, dilantik sebagai pengerusi FGV pada 2011.

Zakaria dan tiga pegawai kanan lain diminta bercuti oleh lembaga pengarah awal Jun berikutan penyiasatan dalaman yang dijalankan mengenai urusan antara anak syarikat FGV, Delima Oil dengan syarikat Afghanistan.

SPRM pada masa sama juga melancarkan siasatan rasuah dan dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam FGV.

Susulan itu, Najib melantik Idris Jala untuk menjalankan siasatan dalaman.

Najib memberitahu peneroka Felda di Johor baru-baru ini yang beliau mahu masalah itu diselesaikan sebelum Hari Raya. – 21 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen