BN timbang rombak GST, tambah pelepasan cukai


Noor Azam Shairi

Isu peningkatan kos sara hidup terutama pelaksanaan GST antara isu tumpuan PRU14. Sumber memberitahu Barisan Nasional dalam manifestonya akan memperkenalkan perubahan GST mengikut segmen dan bukan lagi kadar tetap 6%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

BARISAN Nasional menimbang mencadangkan rombakan ke atas sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta meningkatkan beberapa kadar pelepasan cukai pendapatan dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, kata sumber.

Semakan semula ke atas cukai ini bertujuan untuk meringankan kos sara hidup yang membebankan rakyat, salah satu isu utama yang diangkat oleh Pakatan Harapan (PH) dalam kempennya menuju PRU14.

“Kita (BN) mendengar seruan rakyat yang mahu cukai dikurangkan kerana ia dilihat membebankan mereka,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Semakan itu antaranya melihat kemungkinan memperkenalkan kadar GST yang berbeza mengikut segmen dan tidak lagi seragam pada kadar 6% seperti sekarang.

Kerajaan juga meneliti untuk mengecualikan beberapa lagi perkhidmatan daripada dikenakan GST termasuk utiliti, perumahan, pengangkutan awam dan pendidikan.

PH dalam manifestonya Buku Harapan yang dilancarkan pada 9 Mac lalu bercadang menghapuskan GST, janji yang mahu dilaksanakannya dalam masa 100 hari pertama mengambil alih Putrajaya.

Putrajaya bagaimanapun mempertahankan pelaksanaan GST, yang diperkenalkan sejak 1 April 2015 dengan pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 

Perdana Menteri Najib Razak berkali-kali mengatakan GST yang dilaksanakan di Malaysia bersifat progresif kerana mengambil kira keadaan rakyat serta antara yang paling rendah di dunia.

Menurut pentadbiran Najib, hasil kutipan GST sebanyak RM45 bilion juga dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan dan bantuan kerajaan.

Pentadbiran Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi bergelut untuk memenangi hati rakyat yang terbeban dengan peningkatan kos sara hidup. Manifesto BN sempena PRU14 dijangka akan memberi lebih tumpuan kepada perkara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

Sementara itu, BN juga menimbang mahu meningkatkan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000. 

Kali terakhir pelepasan ini dinaikkan ialah melalui Bajet 2010, yang juga merupakan belanjawan pertama dibentangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak, naik RM1,000 daripada RM8,000.

BN juga menimbang untuk meningkatkan pelepasan bagi perbelanjaan perubatan, keperluan khas dan penjaga untuk ibu bapa daripada maksimum RM5,000 kepada RM10,000.

PH juga dalam manifestonya bercadang memperkenalkan sistem percukaian yang “mesra rakyat dan mesra usahawan”, dengan tumpuan antara lain kepada golongan 40% pertengahan (M40), peniaga kecil dan pekerja sambilan.

BN dijadual mengumumkan manifestonya untuk PRU14 dalam satu majlis besar-besaran di Kuala Lumpur pada 7 April ini, lapor media.

Dewan Rakyat dan Dewan Negara dijadual menamatkan sidangnya serentak pada 5 April, dua hari sebelum pelancaran manifesto BN.

Majlis pelancaran manifesto itu dijadual akan disempurnakan oleh Najib selaku pengerusi BN di hadapan ribuan penyokong parti pemerintah itu dan dihadiri semua pemimpin 13 parti komponen BN.

Majlis ini dikatakan lebih besar berbanding pelancaran manifesto PRU13 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pada PRU13, BN melancarkan manifestonya 28 hari sebelum hari mengundi manakala pada pilihan raya umum sebelumnya pada 2008, 11 hari sebelum mengundi. – 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Segalanya masih belum pasti. Sumber yang beri info ini kepada TMI pun tak berani perkenalkan diri. Sekadar gosip kedai kopi bolehlah. Kita tunggu kata-kata sahih dan jika benar, semestinya ia suatu berita baik buat rakyat.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan