Bukan salah GST ikan kembung naik harga...


Muzliza Mustafa

Perdana Menteri Najib Razak bersama Penasihat kepada Perdana Menteri untuk Program Transformasi Nasional Idris Jala (kanan) dalam majlis malam ini mengatakan GST turut mengurangkan kadar inflasi dalam negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Mac, 2018.

PELAKSANAAN Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukanlah satu-satunya punca peningkatan kos sara hidup kerana kerajaan sudah mengecualikan 578 barangan asas daripada cukai itu, kata Perdana Menteri Najib Razak.

“Kita kecualikan 578 barang termasuklah beras, telur, ikan, daging, sayur, roti, minyak masak, buah-buahan malah petrol daripada GST. Sama ada kadar sifar atau dikecualikan,” katanya.

Beliau menambah yang rakyat tidak sewajarnya menyalahkan kerajaan kerana kenaikan harga ikan kembong kerana ikan dikecualikan daripada GST.

Katanya lagi, sebenarnya GST membantu kerajaan mengurangkan kadar inflasi dalam negara, yang mencatatkan kadar terendah tahun ini iaitu 1.4% berbanding 2008 dan 1998 sebelum GST dilaksanakan.

“Negara catatkan kadar inflasi tertinggi pada 2008 sebanyak 8.4% berbanding selepas cukai dilaksanakan,” kata Najib.

Idea pelaksanaan GST juga bukanlah baru kerana menurut Najib, kerajaan pada 1984 juga mahu melaksanakannya tetapi tiada kesungguhan politik.

Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri Malaysia pada 1984.

“Tahun 1984 lagi kerajaan pada masa itu nak laksanakan GST.  Tetapi kerajaan pada masa itu tidak mempunyai keberanian politik untuk melaksanakan GST, sebab ia adalah keputusan yang betul tetapi akan ada kos politik. 

“Tetapi kita sanggup menanggung kos politik kerana ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan kerana ia akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara bagi tempoh jangka panjang. Saya yakin dengan itu,” katanya kepada hadirin malam ini pada majlis Program Tranformasi Negara di Kuala Lumpur. – 23 Mac, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen