Warga Singapura terlepas tali gantung kes edar dadah


SEORANG warga Singapura terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan terhadap dua pertuduhan mengedar 4,026.73 gram methamphetamine dan 243,69 gram Methenedioxymethamphetamine (MDMA).

Tan Khee Sen, 62, bagaimanapun disabitkan terhadap kesalahan memiliki dadah itu dan dijatuhi hukuman penjara masing-masing 16 tahun dan 15 tahun, berjalan serentak mulai 16 September 2016, hari dia ditangkap. Ini bermakna Tan hanya akan menjalani hukuman penjara 16 tahun.

Tan, seorang pekerja kedai kopi, juga terlepas hukuman sebatan yang ditetapkan bagi kesalahan itu kerana undang-undang mengecualikan lelaki berumur 50 tahun ke atas daripada disebat.

Panel tiga hakim terdiri daripada Kamaludin Md Said, Nordin Hassan dan Hashim Hamzah telah mengetepikan sabitan Tan bagi kesalahan mengedar dadah dan sebaliknya mensabitkan Tan kerana memiliki dadah itu.

Hashim, yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata hakim Mahkamah Tinggi telah salah arah dengan tidak menyatakan sama ada Tan benar-benar atau dianggap memiliki dadah itu apabila memerintahkan Tan membela diri atas kesalahan mengedar dadah.

Hakim itu berkata sabitan kesalahan Tan kerana mengedar dadah itu tidak selamat. Bagaimanapun, beliau berkata terdapat bukti yang mencukupi untuk pertuduhan memiliki dadah itu.

Tan didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dadah itu oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 17 Jun 2020 dan dijatuhi hukuman mati.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Taman Mount Austin, Johor Bahru, Johor pada 12.45 tengah hari pada 15 September 2016.

Peguam yang ditugaskan oleh mahkamah Muhammad Abd Kadir telah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan Tan telah berada di penjara sejak ditangkap dan tidak mempunyai sabitan jenayah lain.

Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke berkata melihat kepada trend hukuman bagi kesalahan itu, hukuman penjara yang dikenakan ke atas pesalah adalah antara 18 tahun hingga 20 tahun penjara. – Bernama, 13 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen