MIC kembali bersinar pada PRU14? Sukar, betul-betul sukar


Noel Achariam Melati A. Jalil

Presiden MIC Dr S Subramaniam sendiri dijangka berdepan kesukaran dalam mempertahankan kawasannya di Segamat yang dimenangi pada PRU13. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2017.

MIC percaya pilihan raya umum (PRU) akan datang bakal menjadi tanda kembalinya ia sebagai kuasa politik tetapi terpaksa memahami betapa sukarnya tugasan itu dengan hanya melihat cabaran dihadapi presidennya Dr S Subramaniam di Segamat.

Pada 2013, margin kemenangan menteri kesihatan itu di kawasan Parlimen di Johor ialah 1,217 undi.

Tetapi dalam beberapa bulan ini, The Malaysian Insight difahamkan beberapa kajian yang dijalankan Umno dan parti politik lain mendapati Segamat berada dalam kategori hitam, bermakna gabungan pemerintah mungkin berdepan jalan sukar untuk mengekalkan kerusi itu.

Secara umumnya, kerusi diklasifikasikan sebagai hitam apabila berlaku kebanjiran pengundi kali pertama dan muda, jentera politik yang suam-suam kuku di kawasan dan kehadiran kuat pembangkang.

Satu kaji selidik yang dilakukan di seluruh negara pada Mac juga mencadangkan jumlah kaum India yang berjaya ditarik parti itu berada pada paras lebih kurang sama sejak empat tahun lalu, hanya di bawah 30%.

Tetapi, MIC masih yakin nasib politiknya akan berubah. Parti itu berkata ia menyasarkan untuk bertanding dan menang di tujuh kawasan Parlimen dan 13 kerusi DUN.

Ia percaya Pelan Induk Kaum India Malaysia akan menjadi alat pengubah dan menarik undi. Di bawah skim yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini, kerajaan berjanji masyarakat itu akan menerima pelbagai kelebihan.

Ini termasuk memastikan kaum India terdiri daripada 7% dalam perkhidmatan awam menjelang 2026; penambahan kemasukan pelajar India di institusi pengajian tinggi dan memperuntukkan RM500 juta untuk skim unit amanah kepada golongan India yang miskin.

Penganalisis politik Dr P Sivamurugan berkata pelan induk itu boleh menarik sebahagian masyarakat India kembali kepada BN.

“Pelan induk itu dan bantuan daripada ahli Parlimen secara langsung kepada masyarakat India boleh memberi nilai tambah kepada corak mengundi kalangan India,” kata pensyarah dari Universiti Sains Malaysia itu.

Tetapi beliau juga berkata pencapaian MIC dalam PRU akan akhirnya bergantung juga kepada calonnya, jentera parti di kawasan dan kemampuannya menangani isu dihadapi pengundi di sesebuah kawasan itu.

Faktor lain yang boleh memberi impak kepada pencapaian MIC pada PRU14 ialah keputusan Hindraf untuk meletakkan calon dan kemungkinan memecahkan undi India lebih banyak lagi dan keputusan Umno untuk bekerjasama dengan PAS.

Mungkin halangan terbesar untuk ditangani ialah sentimen di kalangan pengundi yang MIC bukanlah satu-satunya parti politik yang boleh menjaga kepentingan kaum India.

Naib Presiden PKR Dr Xavier Jeyakumar berkata ada lebih banyak wakil rakyat India dalam kalangan parti pembangkang berbanding dalam MIC atau parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Di Dewan Rakyat, parti dalam Pakatan Harapan iaitu DAP, PKR dan sekutunya Parti Sosialis Malaysia mempunyai 10 wakil rakyat India. BN hanya ada tiga, semua daripada MIC.

Perubahan trend

Di Hulu Selangor dan Segamat, perubahan masyarakat India sedang berlaku.

Pekerja kontrak K. Murugan, 55, dari Hulu Selangor selama ini mengundi MIC tetapi dia dan beberapa individu yang dikenalinya sudah berubah sokongan pada 2013.

“Kebanyakan masanya mereka beri kami sekampit beras ketika masa pilihan raya, kami tidak perlukan itu. Apa yang kami perlu ialah lebih banyak kerja dan mereka sepatutnya membawa lebih banyak peluang perniagaan di sini supaya orang tempatan dapat kerja.

“Saya selalu undi MIC, tetapi pada PRU lalu saya undi pembangkang,” katanya, menambah kebanyakan kaum India di kawasan itu sudah berubah kepada PKR.

Pada 2013, ahli Parlimen MIC P. Kamalanathan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,414 undi, kebanyakannya dengan sokongan orang Melayu yang membentuk 56% daripada 85,000 pengundi di kawasan itu.

Di Segamat, langkah kerajaan membina kem askar mungkin tidak dapat membantu Subramanian, kata Ketua PKR Johor Hasan Karim yang percaya momentum di akar umbi di negeri itu berpihak kepada pembangkang.

Pemikiran konvensional selama ini ialah anggota tentera dan polis biasanya mengundi BN tetapi corak mengundi dari 2013 mencadangkan undi tentera bukan lagi “slam dunk” untuk gabungan pemerintah.

Kubu yang hilang

Ada spekulasi yang mengatakan MIC meletakkan sasaran untuk mengambil semula kerusi Parlimennya yang tewas ke tangan pembangkang pada 2013 seperti Sungai Siput, Kapar, Kota Raja dan Subang.

Mendapatkan semula Sungai Siput di Perak yang tewas dengan undi majoriti 2,793 nampak seperti boleh dicapai.

Tetapi kawasan di Selangor seperti Kapar, Kota Raja dan Subang sudah menjadi kubu kuat PH, dengan kemenangan majoriti antara 23,000 dan 29,000 undi. Untuk menjejaskan majoriti itu, MIC perlu memenangi hati pengundi seperti P. Segaran.

Pesara kilang dari Shah Alam itu berkata kerajaan negeri Selangor sudah melakukan lebih untuk orang India berbanding MIC.

“Mereka beri tambang bas percuma bagi pelajar India dan memberikan projek kecil kepada usahawan India.

“Kami tidak perlu parti India, apa yang kami perlukan ialah parti pelbagai bangsa yang boleh jaga semua orang,” katanya. – 31 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Undi mic mcm sokong penyamun.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ali Along · Ulasan