Robert Kuok pertimbang saman Raja Petra


Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Robert Kuok mengambil serius tuduhan palsu yang dibuat oleh blogger Malaysia Today Raja Petra Kamarudin melalui tiga artikel yang diterbitkan dalam blognya antara 21 dan 23 Februari. – Gambar ihsan forbes.com, 26 Februari, 2018.

TAIKUN Malaysia, Robert Kuok sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger Malaysia Today Raja Petra Kamarudin kerana menuduhnya cuba mengguling kerajaan Perdana Menteri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam satu kenyataan hari ini, pejabat jutawan itu berkata Raja Petra telah membuat tuduhan palsu terhadap Kuok melalui tiga artikel yang diterbitkan dalam blognya antara 21 dan 23 Februari.

“Encik Robert Kuok mengambil serius tuduhan tidak berasas ini, dan berhak untuk mengambil segala tindakan yang perlu terhadap Malaysia Today dan penulisnya bagi menangani tuduhan palsu yang terkandung di dalam artikel-artikel itu,” menurut kenyataan pejabat Kuok.

Kuok membuat kekayaan dengan mengimport gula ke Malaysia, mengubah perniagaan itu menjadi sebuah empayar berpangakalan di Hong Kong yang merangkumi komoditi dan hotel.

“Kuok menyangkal dan dengan tegas menafikan dakwaan palsu yang terkandung dalam artikel “Malaysian Insight Funder Fingered” pada 21 Februari; “Robert Kuok Wants Chinese Rule in Malaysia” pada 21 Februari dan “Robert Kuok’s Last Chance at Changing the Government” pada 23 Februari.

Pejabat Kuok berkata antara dakwaan palsu dalam artikel-artikel berkenaan termasuk beliau membiaya The Malaysian Insight dan pelbagai parti politik yang tujuannya untuk menggulingkan kerajaan Malaysia sekarang.

“Tuduhan-tuduhan ini tidak benar, dan Robert Kuok menafikan sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

Pejabat Kuok juga menangkis serangan berkenaan kesetiaannya pada Malaysia berikutan kenyataan yang baru-baru ini dikeluarkan oleh pemimpin Umno terhadapnya.

“Beberapa artikel telah muncul, memfitnah Robert Kuok terhadap komitmennya pada Malaysia dan integriti proses demokratik negara.

“Robert Kuok ingin menyatakan bahawa sebarang kenyataan mengatakan beliau sudah lupa pada asal-usulnya adalah benar-benar palsu.”

Terdahulu hari ini, menteri Umno, Nazri Aziz menggelar Kuok “pondan” dan mencabar jutawan berusia 94 tahun yang kini berada di Hong Kong supaya kembali ke Malaysia dan bertanding dalam PRU14.

Serangan Nazri itu susulan kenyataan yang dibuat seorang pemimpin Umno lain, iaitu Tajuddin Abdul Rahman, yang memberitahu Kuok supaya “jangan lupa asal-usulnya”.

Semalam, Perdana Menteri Najib Razak juga berkata Kuok tidak mungkin menjadi kaya jika tidak kerana bantuan kerajaan Malaysia.

Namun, kenyataan Nazri telah membuatkan MCA membalas dan mempertahankan Kuok.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama Ti Lian Ker berkata serangan Nazri ke atas jutawan yang berpangkalan di Hong Kong tidak selari dengan budaya Malaysia dan berkata Kuok adalah seorang ahli perniagaan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara umumnya

Kenyataan pejabat Kuok juga berkata beliau sangat menghargai segala peluang yang dinikmatinya di Malaysia dan menafikan sedang memulakan kempen untuk memanipulasi pilihan raya dan sistem demokrasi negara.

Kenyataan itu turut menafikan yang Kuok anti kerajaan, rasis dan “cauvinis Cina”.

“Kuok sangat menghormati para pemimpin Malaysia yang telah melakukan segala yang mereka mampu untuk menyumbang kepada kesejahteraan rakyat mereka,” sebut kenyataan itu. – 26 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen