MCA kecam Nazri kerana gelar Robert Kuok 'pondan'


Tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz menggelar hartawan Robert Kuok tidak disenangi MCA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2018.

MCA mengecam menteri Umno Mohamed Nazri Aziz kerana memanggil Robert Kuok sebagai “pondan” kerana didakwa membiayai DAP, dengan mengatakan ahli perniagaan hartawan itu adalah ikon kepada rakyat Malaysia.

Pengerusi Biro Keharmonian AgamaTi Lian Ker berkata serangan Nazri ke atas hartawan yang berpangkalan di Hong Kong tidak selari dengan budaya Malaysia.

“MCA berpendapat Robert Kuok adalah seorang ahli perniagaan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara umumnya.

“Beliau adalah ikon perniagaan kita dan dihormati oleh rakyat Malaysia dari semua latar belakang etnik. Beliau tidak sepatutnya terlibat dalam sebarang isu politik, apatah lagi untuk bertanding dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14).”

Beliau berkata demikian susulan kenyataan menteri pelancongan dan kebudayaan yang mencabar hartawan berusia 94 tahun itu kembali ke Malaysia dan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jangan jadi ‘pondan’. Jangan jadi ayam betina yang bersembunyi di belakang dinding di Hong Kong,” kata ahli Parlimen Padang Rengas kepada Malaysiakini hari ini.

Nazri juga berkata ramai orang Cina, walaupun tidak kaya seperti Kuok, tinggal di Malaysia dan terus membangunkan negara bersama-sama kaum lain.

“Lebih baik bagi orang seperti Kuok serahkan kerakyatan mereka,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan memberi amaran yang serangan itu boleh menyebabkan hubungan kaum keruh.

“Mangsa bukan hanya Kuok, tetapi hubungan antara kaum,” katanya.

Ong berkata Nazri tidak berhak menuntut mana-mana rakyat Malaysia menyerahkan kewarganegaraan mereka kerana beliau tiada mempunyai kuasa melakukannya.

Ong menegaskan Kuok bukan sekadar ahli perniagaan yang berjaya, tetapi individu yang berjasa kepada negara.

Nazri adalah pemimpin Umno terbaru yang menyerang Kuok selepas Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini menuduh Kuok tidak bersyukur kerana membiayai DAP untuk menjatuhkan BN.

DAP hari ini mencabar pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Najib Razak dan Tengku Adnan menunjukkan bukti parti pembangkang menerima dana daripada Kuok.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Umno mesti memohon maaf sekiranya gagal mengemukakan bukti.

“Ini (dakwaan) adalah satu pembohongan. Kami mahu Umno, Najib atau Tengku Adnan menunjukkan bukti Kuok memberikan wang kepada DAP.

“Saya juga ingin tahu (jika wang diberikan). Sebagai setiausaha agung parti, saya tidak tahu beliau pernah memberikan DAP wang.

“Jika mereka tidak dapat menunjukkan bukti, mereka mesti memohon maaf kepada Kuok dan DAP,” kata Guan Eng pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Ti berkata hubungan rapat Nazri dengan Lim Guan Eng sudah diketahui ramai, sambil menambah beliau tidak membantu kerajaan pemerintah dengan kenyataannya.

 “Kenyataannya pada permukaannya mungkin kelihatan seperti membelasah Kuok tetapi sebenarnya tidak membantu BN atau MCA, sebaliknya membantu DAP dan Lim Guan Eng.

“Kenapa sasar kepada Kuok dan bukannya DAP dan isu terowong Pulau Pinang?”

Ti berkata Kuok sebagai ahli perniagaan mempunyai hak untuk menyokong mana-mana parti politik yang difikirkannya sesuai.

“Secara peribadi saya percaya beliau seorang ahli perniagaan boleh menyokong banyak parti politik dan ahli politik daripada BN atau PH (Pakatan Harapan) juga. Tidak perlu terlalu berlebihan dengan sikap tidak sopan dalam hal ini.

“Bagaimanapun, jika ada tindakan khianat atau agenda politik untuk menjejaskan kerajaan atau kestabilan, kita mempunyai undang-undang dan perisik untuk menangani perkara ini.”

Ti berkata, apabila pilihan raya semakin dekat, ahli politik perlu bertenang dan tidak melampaui batas dalam serangan mereka atau serang balas.

“Kami yakin BN adalah parti politik yang lebih baik dengan dasar yang jelas dan produk lebih baik untuk para pengundi.

“Bukan sahaja Kuok tetapi semua ahli perniagaan yang mendapat manfaat daripada dasar BN dan kestabilan politik harus bersyukur dan membalas dengan sokongan mereka.” – 26 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • dah asal dalam bidang perniagaan itu teruskan je laa. xpayah nk sebok masuk ke bidang politik pulak. ini laa dia. ada duit sikit je nk cuba masuk politik laa apa laa. bagi orang yang memang dalam bidang politik sudah laa.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan