Penunjuk ekonomi Malaysia beri amaran


Sheridan Mahavera

Jika baki akaun semasa negara defisit bagi tempoh lebih panjang, ia akan menjejaskan semuanya daripada gaji rakyat hinggalah harga barang makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2017.

DARIPADA semua statistik yang menunjukkan keadaan ekonomi Malaysia, satu penunjuk menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar ekonomi yang berkata ia boleh menimbulkan kesusahan bagi setiap rakyat negara ini dalam tempoh jangka panjang.

Baki akaun semasa ialah termometer kepada ekonomi negara dan jika ia menjadi defisit bagi tempoh lanjutan, ia boleh menjejaskan semuanya daripada gaji hinggalah harga sayur.

Baki akaun semasa Malaysia masih menunjukkan “surplus” atau lebihan tetapi berita buruknya ialah ia menurun secara berterusan dari 2014.

Pakar ekonomi Ali Salman berkata surplus itu turun dengan lebih separuh atau 57.75% daripada suku keempat 2016 kepada suku pertama tahun ini.

Jika penurunan itu tidak ditangani, ia akan membawa kepada pertumbuhan ekononi lembap dan bakal menipiskan wang poket rakyat biasa. Pakar ekonomi berkata antara kesan akibat penurunan surplus ialah:

* Kesukaran dalam menyediakan peluang pekerjaan atau sumber pendapatan yang baharu bagi rakyat menyebabkan kuasa beli mereka berkurangan.

* Keyakinan pelabur kepada negara akan berkurang menyebabkan nilai ringgit semakin lemah.

* Ringgit yang lemah menyebabkan makanan dan barangan import semakin mahal dan harga di pasar raya meningkat.

* Paling teruk ialah semua faktor di atas boleh bergabung dan memburukkan lagi keadaan sehingga membawa kepada pertumbuhan keseluruhan lebih lembab.

“Ia boleh menyebabkan satu kitaran ganas di mana pertumbuhan ekonomi yang lembap membawa kepada peningkatan inflasi. Akhirnya akan berlaku pergolakkan sosial,”kata pakar ekonomi Ramon Navaratnam.

Surplus berkurangan

Menurut laman web Investopedia, akaun semasa negara terdiri daripada baki perdagangannya (eksport tolak import), pendapatan dari luar negara dan pindahan semasa bersih yang termasuk wang dihantar pulang oleh pekerja warga asing.

Ali yang juga ketua penyelidik di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) berkata akaun semasa mengandungi empat komponen – akaun barangan, akaun perkhidmatan, pendapatan primer dan pendapatan sekunder. (nota pada Sri ini istilah jabatan statistik)

“Baki akaun semasa berkurangan hampir 57.75% dari suku keempat 2016 kepada suku pertama 2017, dengan jumlah keseluruhan kerugian RM7.2 bilion,” katanya.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER),  akaun semasa negara masih menunjukkan surplus RM48 bilion untuk 2014. Surplus ini menurun kepada RM34 bilion pada 2015 dan RM25 bilion pada 2016.

Pengarah Eksekutif MIER Prof Zakariah Rashid berkata punca utama penurunan itu ialah permintaan dunia yang lemah terhadap eksport Malaysia, industri maritim tidak kompetitif dan lambakan pekerja warga asing tidak mahir.

“Harga komoditi minyak sawit, gas asli dan minyak mentah yang lemah di pasaran dunia dan industri pembuatan yang semakin tidak kompetitif akhirnya melemahkan pencapaian eksport,” katanya.

Ini dapat dilihat menerusi penurunan di dalam akaun barangan dan akaun perkhidmatan negara, kata Ali.

Ali berkata akaun barangan menurun 18.93% daripada suku sebelumnya, sementara akaun perkhidmatan jatuh 15.29%.

Pendapatan primer negara juga turun 7.19% berbanding suku sebelum ini yang sudah pun sedia defisit.

Trend membimbangkan

Walaupun secara keseluruhan, Malaysia masih lebih banyak mengeksport berbanding mengimport, Zakariah berkata lebihan dagangan ini semakin merosot.

Memandangkan Malaysia ialah negara maritim, sebahagian besar akaun perkhidmatannya terdiri daripada perkhidmatan perkapalan tetapi di sinilah terletak kekurangan negara ini.

“Kurang satu pertiga daripada kapal yang melalui Selat Melaka menggunakan perkhidmatan pelabuhan Malaysia.

“Sama juga, hanya satu persepuluh daripada jumlah dagangan antarabangsa kita menggunakan kapal laut Malaysia,” katanya.

Zakariah berkata jika digabungkan, Malaysia masih merekodkan surplus dalam akaun barangan dan perkhidmatan, tetapi surplus yang berkurangan menjadi “trend membimbangkan”.

Satu lagi “trend membimbangkan” ialah sejumlah besar pekerja warga asing yang membentuk satu pertiga daripada tenaga buruh, katanya.

Apabila mereka menghantar pendapatan ke negara asal masing-masing, ini menjejaskan akaun pendapatan primer negara, yang pada masa ini merekodkan defisit. “Defisit ini mencerminkan kelemahan struktur dalam industri maritim dan pasaran buruh.”

Masalah struktur

Dalam jangka panjang, akaun semasa yang pada paras negatif akan melemahkan daya hidup ekonomi, kata Ali.

“Pelabur asing akan hilang motivasi untuk melabur di Malaysia dan permintaan terhadap aset negara akan melemah, termasuk bon kerajaan.

“Bila pelabur asing menarik balik pelaburan, mata wang negara akan hilang nilai relatif terhadap mata wang lain. Akhirnya, berlaku pengeluaran modal dari Malaysia,” katanya.

Zakariah berkata masih belum terlalu lambat untuk mencegahnya kerana pengurangan surplus ialah petanda yang kelemahan struktur tertentu dalam ekonomi perlu diperbaiki. Ini termasuk memotong kebergantungan terhadap buruh asing tidak berkemahiran dan mengukuhkan industri perkhidmatan maritim.

“Menangani perkara itu akan membawa kesan positif terhadap mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” kata Zakariah. – 30 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • And yet umno and najib boosting himself.wha.a
    pariah..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ali Along · Ulasan