Khalid Samad yakin mampu kekalkan Shah Alam


Sheridan Mahavera

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, antara wakil rakyat Pakatan Harapan yang bakal berdepan pertandingan beberapa penjuru dalam mempertahankan kerusi pilihan raya akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2017.

PERBUALAN di sebuah gerai burger di Shah Alam baru-baru ini dapat merumuskan cabaran dihadapi ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) seperti Khalid Samad dalam landskap politik pertandingan banyak calon.

Dengan tiga gabungan politik sekarang berjuang mendapatkan undi Melayu, pemilik gerai burger Zainal Ahmad, 53, tidak pasti siapa yang patut disokong.

“Sekarang saya tidak tahu hendak pilih siapa. Satu pihak teruk tetapi kita tidak tahu tentang parti lain juga,” katanya.

Zainal ialah salah seorang Melayu Islam yang semakin ramai rasa keberatan untuk memilih gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) tetapi tidak pasti dengan pembangkang, yang kini terpecah kepada PH dan PAS.

Sejarah membuktikan BN selalunya muncul juara apabila undi untuk pembangkang terpecah kepada pertandingan tiga penjuru.

Keadaan sama berlaku walaupun sokongan untuk BN berada pada tahap rendah apabila pengundi menyalahkannya kerana kenaikan inflasi akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Jadi walaupun rekod menunjukkan ramai rakyat Malaysia terutama Melayu Islam mahu menghukum BN, mereka tidak pasti untuk menyokong pembangkang yang tidak bersatu dan sering bertelagah, kata penganalisis di Merdeka Center, Ibrahim Suffian.

Sentimen itu diterjemahkan menerusi jumlah pengundi tidak pasti hendak mengundi siapa yang semakin bertambah, iaitu membentuk purata 15% daripada semua pengundi di kawasan mana pun, kata Merdeka Center.

Bahagian ini akan jadi penting kepada parti PH seperti Amanah yang dianggotai Khalid kerana ia memerlukan setiap apa yang ada dalam pertandingan pelbagai penjuru untuk mempertahankan kerusinya.

Shah Alam ialah kerusi majoriti Melayu yang dipegang pembangkang tetapi boleh kembali kepada BN akibat pertandingan tiga penjuru.

Bagaimanapun, Khalid yang juga ahli Parlimen PAS bertukar kepada Amanah, optimistik mampu mempengaruhi mereka yang tidak pasti itu dalam mengekalkan Shah Alam, di mana Melayu membentuk 69% daripada keseluruhan 99,900 pengundi.

Pada 2013, Khalid mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 10,393 undi.

“Jika anda lihat PAS, kami tidak lagi tahu apa pendirian mereka,” kata Katrina, 52, penyelia kilang yang ditemui di gerai burger Zainal.

“Sepatutnya sekarang ada Bersatu dan Amanah. Tapi ‘bersatu’ apa yang ada? Dan adakah Amanah benar-benar ‘amanah’?,” katanya.

Beliau merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti komponen orang Melayu dalam PH diterajui bekas pemimpin Umno yang terkemuka seperti bekas presidennya Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan presiden Muhyiddin Yassin.

Khalid mengakui jalan Amanah masih jauh untuk jenamanya dikenali seperti PAS.

Tetapi beliau berharap dengan bergabung dengan Bersatu, yang pemimpinnya seperti Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir yang menjadi ikon negara, ia akan membawa parti itu ke arus perdana.

Ibrahim dari Merdeka Center berkata ia mungkin masih mustahil kerana Bersatu juga parti baharu yang masih belum membawa impak kepada negara.

“Tarikan mereka masih terhad kepada ahli dan penyokong Umno (dalam kes Bersatu) yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan dan ahli PAS yang tidak setuju keputusan PAS mengakhiri ikatan dengan PH (dalam kes Amanah).

“Ia mengambil masa panjang untuk mendapat pengiktirafan arus perdana,” kata Ibrahim.

“Jika PH dan PAS gagal bersatu dan meletakkan calon mereka sendiri, orang Melayu mungkin memilih PAS ia dilihat lebih selamat, alternatif stabil kepada Umno.”

Tetapi keputusan akhirnya akan bermaksud undi yang sepatutnya diberikan kepada pembangkang akan terbahagi antara PAS dan parti dalam PH iaitu Amanah, Bersatu atau PKR, menjadikan BN pemenangnya.

Khalid, yang juga ketua penerangan Amanah percaya senario di atas mungkin sudah berlaku dan perlu diterima pada masa lalu tetapi ia bukan lagi kes pada hari ini, secara automatiknya.

Ini kerana Bersatu mengubah akar umbi Melayu Islam dan membentuk undi Melayu yang PH hilang apabila PAS keluar daripada gabungan itu pada 2015.

Terdahulu dalam pertandingan tiga penjuru, BN mampu memperoleh antara 40-45% daripada keseluruhan undi, sementara parti pembangkang masing-masing akan menerima agihan daripada baki 60-55%.

Kini, Amanah berkata kira-kira itu sudah berubah. Pada Disember tahun lalu, sokongan orang Melayu terhadap Umno ialah 40%, PAS (25%) sementara PH (21%). Jumlah pengundi tidak pasti berada pada 14%.

Strategi PH ialah menurunkan sokongan Umno kepada 30% dan PAS pada kira-kira 18% dengan melarikan 10% daripada Umno dan 7% daripada PAS dan menambahkan kepada PH jumlah keseluruhan 38%.

“Jika kami boleh tarik separuh daripada undi mereka yang tidak pasti, kami akan dapat 40% dan menang.” – 26 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen