Ribuan rakyat Iraq terkorban dalam usaha sekat keganasan


Antara rakyat Iraq yang kehilangan anggota badan selepas menjadi mangsa peperangan di negara itu. Ribuan rakyat Iraq terkorban dalam usaha negara tu menangani pengganas Daesh.– Gambar EPA, 12 Februari, 2018.

KETUA Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri Iraq, Dr Mahdi Al-Alaq, berkata ribuan rakyat Iraq telah terkorban ketika memerangi Daesh dalam usaha untuk menyekat keganasan dan pengaruh kumpulan militan itu daripada terus merebak ke seluruh dunia.

Beliau berkata kemenangan ke atas Daesh, yang diumumkan Perdana Menteri Haider al-Abadi pada 10 Disember lepas, adalah hasil semangat perjuangan rakyat Iraq selain sokongan antarabangsa demi membebaskan negara itu daripada keganasan kumpulan militan tersebut.

“Kemenangan ini juga amat penting kepada masyarakat dunia kerana berjaya menamatkan impian Daesh untuk meluaskan penguasaannya dan menyebarkan fahaman keganasan ke seluruh dunia,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan pembukaan pameran kesan-kesan kehancuran infrastruktur Iraq oleh Daesh pada Ahad.

Pameran itu diadakan sempena penganjuran Persidangan Antarabangsa Kuwait untuk Pembinaan Semula Iraq (KICRI), yang bermula pada Isnin dan berakhir pada Rabu (14 Februari).

KICRI bertujuan menggerakkan sokongan antarabangsa serta rancangan pembinaan semula infrastruktur di Iraq selain memperkukuh kerjasama antara penderma antarabangsa dan pelabur swasta.

Mengulas lanjut, Mahdi berkata persidangan itu akan membentang secara jelas kesan kemusnahan infrastruktur yang dilakukan Daesh dan peluang projek pembinaan semula negara tersebut.

“Penganjuran KICRI ini dipengerusikan bersama oleh Kuwait, Iraq, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia dinaungi Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah.”

“Impian Daesh berjaya disekat, sekarang bermula impian kami untuk membangunkan semula Iraq,” katanya.

Lebih 3,000 peserta dari 70 negara dijangka menghadiri persidangan itu.– Bernama, 12 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen