Muhyiddin sudahpun disumpah ahli Bersatu, kata Nazri


Amin Iskandar

Menteri Pelancongan Mohamed Nazri Aziz mempertahankan kenyataannya tentang bekas pemimpin Umno Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal yang disingkirkan daripada kerajaan merupakan penerima terbesar “wang 1MDB”.

Nazri berkata, apa yang beliau tahu, semua ketua Umno bahagian menerima peruntukan daripada Perdana Menteri Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

“Kalau nak bersumpah lantak dialah. Dia pun dah kena sumpah dengan pemimpin Bersatu dah,” kata Nazri kepada The Malaysian Insight hari ini, merujuk kepada tindakan keluar parti dilakukan pemimpin Bersatu di Perak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu mengulangi kenyataan yang wang dikatakan daripada 1MDB itu diberikan kepada semua ketua bahagian yang juga ahli Parlimen sebelum PRU13.

“Duit RM 2.6 bilion tu. Duit itulah yang disebut sebagai duit 1MDB. Duit ini duit perbelanjaan sebelum pilihan raya. Kita guna untuk betulkan rumah rosak.

“Duit hantar ketua kampung pergi haji. Sebagai scholarship kepada penduduk di kawasan, kalau dia tak terima, saya tak tahulah,” katanya.

Semalam Muhyiddin yang juga pengerusi Bersatu bersumpah tidak menerima satu sen pun wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwa Nazri.

“Saya bersumpah Wallahi, Wabillahi dan Wattallahi saya dan Shafie tak terima satu sen pun wang 1MDB,” kata Muhyiddin di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru malam tadi.

Shafie sebelum ini turut menafikan dakwaan Nazri beliau dan Muhyiddin penerima terbesar wang 1MDB.

Semasa berada dalam kerajaan, Muhyiddin dan Shafie merupakan pemimpin yang lantang mengkritik Perdana Menteri Najib Razak berhubung isu 1MDB sehingga disingkirkan.– 25 Mei 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen