PKR Kelantan sedia lepas jawatan, bukan macam PAS Selangor


Diyana Ibrahim

Semua pemimpin PKR di Kelantan yang dilantik secara politik bersetuju melepaskan jawatan dalam pentadbiran Kelantan selepas hubungan politik dengan PAS terputus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2017.

TIDAK seperti PAS di Selangor, semua pemimpin PKR di Kelantan yang dilantik secara politik bersetuju melepaskan jawatan dalam pentadbiran Kelantan, kata Majlis Pimpinan PKR Kelantan.

Pengerusinya, Abdul Aziz Kadir berkata mereka sedia maklum perkara itu dan kini menunggu arahan rasmi daripada setiausaha agung untuk meneruskan tindakan.

“Situasi di Kelantan macam biasa , kita akur saja dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi.

“Ahli parti dan lantikan politik pun sudah menyatakan kesediaan kerana ini arahan pucuk pimpinan tertinggi, kita tak boleh lawan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mesyuarat biro politik PKR semalam yang memutuskan semua lantikan politik PKR di Kelantan perlu letak jawatan serta merta.

Mesyuarat semalam diadakan susulan tindakan PAS menerusi Majlis Syura memutuskan hubungan politik dengan PKR, minggu lalu.

Walaupun memutuskan hubungan itu dengan alasan PKR melanggar perjanjian, parti Islam itu bagaimanapun enggan melepaskan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam berkata kedudukan tiga exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor akan diputuskan bersama Menteri Besar Azmin Ali sekembalinya beliau dari lawatan rasmi luar negara.

Difahamkan terdapat lebih 5,000 lantikan politik PAS di kerajaan negeri Selangor.

Aziz berkata setakat ini seramai 61 lantikan politik PKR berada di Kelantan iaitu termasuk tiga penyelia DUN, 39 ahli majlis, 14 ketua kampung dan 5 wakil dalam syarikat berkaitan kerajaan.

PKR di Kelantan mempunyai seorang Adun iaitu Roslan Puteh di Guchil.

“Saya tidak mengarahkan lagi peletakan jawatan kerana masih menunggu arahan rasmi daripada setiausaha.

“Tetapi ada beberapa ahli majlis yang sepatutnya angkat sumpah hari ini, mereka tak pergi,” katanya.

Menyentuh mengenai Adun Guchil, Aziz berkata tidak jelas arahan pelantikan jawatan termasuk wakil rakyat atau tidak.

Setakat ini katanya, belum ada reaksi daripada kerajaan Kelantan berhubung perkara itu. – 17 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen