Selepas 'bercerai' dengan PKR, PAS umum bertanding 100 kerusi Parlimen


PAS mahu bertanding di 100 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2017.

TIGA hari selepas mengesahkan “bercerai” dengan PKR, PAS hari ini mengumumkan bakal bertanding 100 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, berkata daripada jumlah itu mereka menjangkakan 40 kerusi adalah “mudah menang” manakala selebihnya “perlu diusahakan dengan lebih gigih”.

“Kita mungkin akan meletakkan lebih 100 kerusi yang akan dipertandingkan, cuma 40 itu kita sasarkan menang dan mudah menang.

“Di samping itu, kita perlu menang lebih lagi antara 60 hingga 80 kerusi ke atas berdasarkan kerja kuat jentera parti,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini hari ini.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, PAS berpotensi untuk menang walaupun berlakunya pertandingan tiga penjuru di antara parti Islam itu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Tak semestinya apabila berlaku tiga penjuru, maka itu akan memberi kemenangan besar kepada Umno dan BN, dia berbeza dengan perkembangan politik pada PRU lepas,” katanya.

“PAS melihat peluang terhidang besar di hadapan untuk kita mencapai kemenangan banyak kerusi Parlimen pada pilihan raya nanti.”

Sementara PAS Wilayah Persekutuan hari ini menyambut baik keputusan memutuskan kerjasama politik dengan PKR dan mengatakan bakal bertanding 9 kerusi Parlimen.

“PAS WP membuat keputusan untuk bertanding sembilan kerusi Parlimen dalam PRU 14 yang akan datang.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan kemampuan jentera dan kehendak pengundi yang mahukan dan mengharapkan PAS sebagai parti yang mampu memperjuangkan agenda rakyat dan masyarakat berbilang kaum dan agama,” kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad dalam satu kenyataan disiarkan di portal Harakahdaily hari ini.

Kerusi Parlimen yang bakal ditandingi PAS di Wilayah Persekutuan ialah Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.

Kerusi Lembah Pantai dan Batu sekarang ini disandang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang. Sementara kerusi Wangsa Maju disandang Dr Tan Kee Kwong dari PKR.

Bandar Tun Razak pula diwakili bekas menteri besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dan Segambut Lim Lip Eng (DAP).

Pada PRU13 lalu PAS kehilangan satu-satunya kerusi Parlimen mereka yang dimenangi pada PRU12 di Wilayah Persekutuan iaitu Titiwangsa. – 14 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments