MB tidak beri arahan letak jawatan, kata Iskandar Samad


Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dilihat berbual mesra dengan exco PAS semasa Persidangan Speaker Parlimen dan Dewan Undang Negeri Seluruh Malaysia 2017 di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Mei, 2017.

EXCO PAS Iskandar Samad menafikan diminta meletakkan jawatan susulan terputusnya tahaluf siyasi di antara PKR dan parti Islam itu.

Beliau juga tidak tahu menahu akan permintaan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang meminta semua exco PAS meletakkan jawatan semalam seperti dilaporkan The Star hari ini.

“Tiada arahan. Saya tidak menerima apa-apa arahan.

“Semuanya baik,” kata bekas pesuruhjaya itu kepada media selepas menghadiri Persidangan Speaker Parlimen dan Dewan Undang Negeri Seluruh Malaysia 2017 di Shah Alam, hari ini.

Beliau dan dua lagi wakil rakyat PAS serta Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi bertemu Azmin semalam bagi menerangkan keputusan Majlis Syura yang diumumkan sehari sebelum itu.

Azmin kemudian memberitahu media, beliau kecewa dengan keputusan PAS untuk tidak meneruskan hubungan politik dengan PKR dan akan membincangkannya dengan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum memutuskan tindakan selanjutnya. – 13 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments