Saya boleh jadi MB Selangor lebih baik, kata Jamal Yunos


Noel Achariam

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos berkata hasratnya mencabar Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa adalah serius dan menafikannya sebagai gimik. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Disember, 2017.

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos berkata beliau boleh jadi menteri besar Selangor yang lebih baik berbanding Mohamed Azmin Ali.

Ketua Gerakan Baju Merah itu berkata hasratnya mencabar Azmin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bukan gimik, tidak seperti beberapa tindakannya sebelum ini yang katanya bertujuan mendedahkan masalah dalam pentadbiran Selangor.

Menurut Jamal, Ketua Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar sudah memberikan beliau lampu hijau untuk bertanding di kerusi itu.

“Sebabnya saya mahu bertanding di Bukit Antarabangsa ialah kerana tidak ada cabaran kalau saya bertanding di Sungai Besar.

“Saya hendak cabaran yang sebenar.

“Itu sebabnya saya tawarkan diri di Bukit Antarabangsa. Ini bukan gimik. Ini betul-betul.

“Kalau saya takut kalah, saya tak akan minta bertanding di Bukit Antarabangsa. Lebih baik bertanding di Sungai Besar atau Sekinchan, kerusi yang selamat untuk saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu berkata BN Selangor tidak akan mengumumkan calon menteri besar Selangor sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

Menurut Jamal, beliau akan melancarkan pusat khidmat di kawasan DUN itu, yang terletak dalam kawasan Parlimen Ampang.

“Kita akan lancarkan jentera pilihan raya di Bukit Antarabangsa terlebih dulu.

“Saya percaya saya boleh memenangi hati rakyat untuk mengembalikan kerusi ini kepada BN kerana dalam masa dua penggal dengan Azmin, tak ada perubahan pun.”

Azmin, wakil rakyat Bukit Antarabangsa sejak PRU 2008, mempertahankan kerusi itu pada 2013 dengan mengalahkan calon BN, Mohamad Nadzim Ibrahim dengan majoriti 4,044 undi.

Pada PRU13, kawasan Bukit Antarabangsa mempunyai 57% pengundi Melayu, 36% Cina and 6% India.

Azmin juga adalah ahli Parlimen Gombak.

Customers get to take cheap fish home in plastic bags bearing the face of Sungai Besar Umno chief Jamal Md Yunos. – The Malaysian Insight pic by Kamal Ariffin, September 30, 2017.

Jamal bulan lalu menawarkan diri untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Antarabangsa pada PRU14.

Pada jualan ikan murah di kawasan DUN itu hujung minggu lalu, beliau menaikkan sepanduk bertulis “Bakal Calon N19 Bukit Antarabangsa” dan dirakamkan bergambar bersama Ketua Bahagian Umno Ampang, Ismail Kijo.

Menurut Jamal, beliau tidak fikir reputasinya sebagai pemimpin Umno yang kontroversi serta beberapa aksi protesnya terhadap kerajaan PKR Selangor akan mengurangkan sokongan terhadapnya.

“Keputusan pada Perdana Menteri (Najib Razak). Saya sudah buat yang terbaik. Kalau ada potensi jadi calon, saya harap perdana menteri akan turunkan saya.

“Saya sudah nyatakan hasrat pada Ismail Kijo yang saya serius mahu bertanding.

“Pada awalnya ada rungutan tetapi saya berjaya yakinkan mereka bahawa apa yang saya lakukan ini untuk kebaikan Selangor.”

Kejayaan Azmin mempertahankan kerusi itu untuk dua penggal tidak membimbangkan Jamal kerana beliau percaya timbalan presiden PKR itu tidak begitu berkhidmat kepada pengundinya.

“Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dalam keadaan yang daif dan begitu beberapa kemudahan yang lain. Kalau menang, saya akan naikkan taraf kawasan ini dan surau di sini.”

Jamal juga berkata sekiranya BN merampas balik Selangor, Azmin “dan kroninya” akan dipenjara.

Jamal watak yang tidak sunyi daripada kontroversi apabila dikaitkan dengan kerajaan negeri Selangor.

Kumpulan Baju Merahnya mula muncul sebagai kelompok yang mengadakan bantahan terhadap rapat umum anjuran Bersih 2.0. Sejak itu, beliau beberapa mengadakan protes yang menarik perhatian umum di hadapan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam termasuk aksi pakai tuala sebagai membantah krisis air di Selangor dan yang terakhir, memecahkan botol minuman keras sebagai membantah pendirian kerajaan negeri berhubung penganjuran pesta arak.

Walaupun siri protesnya itu ditujukan kepada kerajaan Selangor yang diterajui oleh pemimpin pembangkang Pakatan Harapan, sasarannya juga termasuk DAP.

Pada 30 September lepas, Jamal menganjurkan “pasar ikan” menjual ikan pada harga murah dan menuduh DAP sebagai dalang harga ikan naik supaya rakyat marahkan kerajaan.

Menurut Jamal, beliau akan meneruskan aksi protesnya itu sehingga semua isu yang dibangkitkannya di Selangor selesai.

Tetapi penyelesaian terbaik kepada semua isu itu ialah dengan beliau jadi menteri besar, katanya.

“Kalau saya menang mengalahkan Azmin Ali dan kalau BN menang balik Selangor, maknanya orang yang mengalahkan Azmin adalah yang paling layak jadi menteri besar.

“Cuma yang saya bimbang ialah Azmin akan lari ke tempat lain. Kalau itu berlaku, saya akan minta pimpinan Umno untuk benarkan saya berdepan dengan Azmin di mana juga dia bertanding di Selangor.” – 5 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kami ingat kau yg marah2 pakai toala dikawasan awam. Boleh buat apa?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

  • Ini korok punya orang. Apa yang kau bolih buat selain dari lakonan yang bodoh. Luat aku ini degan muka kau tu !!!!!!!!. Lebih baik awak booking dulu tempat yang selesa di Sungei Buloh kalau lambat habis semua dan kena tidur di lantai konkrit ni.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Lee Lee · Ulasan