Bila Hadi saman Sarawak Report, penipuan 1MDB mungkin terbongkar


The Malaysian Insight

DALAM menyaman pengarang Sarawak Report, Clare Brown atas kes libel di Mahkamah Tinggi di London, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mahu mematahkan tuduhan yang beliau menerima rasuah daripada Perdana Menteri Najib Razak untuk menjejaskan kebebasan parti Islam itu.

Beliau mungkin berjaya mencapai matlamatnya tetapi dalam proses itu, saman berkenaan mungkin menyediakan platform baharu untuk meneliti tuduhan salah urus dan penipuan membabitkan skandal syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Respons kepada soalan The Malaysian Insight, Brown berkata memandangkan PAS sudah pun membawa perkara itu ke mahkamah di London, beliau menyerahkan segala-galanya kepada peguam dan tidak sepatutnya memberi komen pada peringkat ini.

“Akan ada respons mengikut keadaan,” katanya.

Peguam yang mahir dengan kes fitnah berkata jika Brown bergantung pada justifikasi pembelaan, beliau akan dibenarkan melakar gambaran lengkap 1MDB, dan ia termasuk mendapatkan saksi, termasuk perdana menteri untuk memberi keterangan.

Mereka akan menjangkakan peguamnya menggariskan kisah lengkap syarikat bermasalah itu, termasuk aliran wang dan sebagainya.

Secara ringkasnya, jika saman Hadi dicabar, ini akan menjadi kali pertama di mana lapisan rahsia meliputi 1MDB mungkin terbuka kepada umum.

Dalam tuntutan samannya, Hadi berkata reputasinya terjejas teruk di England dan Wales, Malaysia dan Singapura akibat artikel disiarkan di Sarawak Report bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many other Criminal Connections”

Antara lain, artikel itu mendakwa Najib memikat PAS menjauhi pembangkang dengan menyalurkan RM90 juta kepada pemimpin tertinggi dalam parti Islam itu.

Dalam maksud biasa, artikel itu mendakwa Hadi secara peribadi menerima atau meluluskan PAS menerima sejumlah besar rasuah daripada Najib sebagai pertukaran untuk menjejaskan kebebasan politik parti itu.

Presiden PAS berpendapat artikel itu merosakkan pendiriannya sebagai seseorang yang komited kepada proses demokrasi dan rukun Islam.

Brown dan Sarawak Report menerima pujian secara rahsia dalam dakwaan yang dibuatnya itu, dengan laman web itu menggambarkan ia memetik sumber yang boleh dipercayai mengenai rasuah di Malaysia.

Tetapi peguam yang mewakili Hadi ada alasan untuk membuktikan pengaruh dan capaian Sarawak Report. Mereka perlu menunjukkan yang artikel menyinggung itu benar-benar tersebar luas dan dibaca serta dipercayai ramai orang, hingga menyebabkan reputasi PAS mengalami kecederaan teruk.

Hadi akan bergantung pada sebahagian rakyat Malaysia yang tinggal di England bagi menyokong dakwaannya yang reputasinya terjejas teruk di England dan Wales.

Sebahagian daripada rakyat Malaysia di sana ialah:

* Dr Wan Ahmad Hilfi Wan Ahmad Junaidi, doktor yang tinggal di England selama 10 tahun.

* Jupri Bade, seorang jurutera yang tinggal di UK selama 18 tahun.

* Dr Badrul Hisham Esa, juga doktor yang menetap di UK sejak 1992.

* Raja Petra Raja Kamarudin, blogger. Beliau tinggal di UK sejak 2009.

Hadi menuntut ganti rugi teruk daripada Brown. – 2 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen