PAS yakin menang 40 kerusi Parlimen pada PRU14


Diyana Ibrahim

Pertambahan keahlian PAS meningkatkan keyakinan parti itu untuk memenangi 40 kerusi Parlimen kerana ia sekali gus meningkatkan sokongan orang ramai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Mei, 2017.

PAS yakin dengan hasil kajian daripada dalaman yang dijalankannya sendiri yang menunjukkan mereka mempunyai peluang cerah memenangi 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya Abdul Hadi Awang berkata kajian dilakukan PAS bukan seperti institut penyelidikan lain seperti Invoke tapi sebaliknya kajian berdasarkan maklum balas daripada jentera pimpinan seluruh negeri.

“Kita ada kajian sendiri dan tidak menerima yang lain. Kajian kami bukan berdasarkan telefon, rambang tetapi ia (maklum balas) daripada jentera seluruh negara,” katanya pada sidang media di Kota Sarang Semut, Kedah hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kajian yang menyatakan PAS akan kalah jika bertegas meneruskan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya secara sendirian.

Tambahnya lagi, keyakinan semakin kuat apabila kajian menunjukkan jumlah ahli parti Islam itu bertambah sekali gus akan meningkatkan sokongan daripada orang ramai.

“Kita lebih maju ke depan kerana ahli kita makin bertambah dan sokongan juga bertambah, itu yang penting,” kata beliau yang sebelum itu mengumumkan bilangan ahlinya melebihi 897,000.

Muktamar PAS menyaksikan parti itu mengukuhkan rancangan mengetuai blok pembangkang ketiga yang dinamakan Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa.

PAS berkata blok itu tidak akan bekerjasama sama ada dengan Pakatan Harapan atau Barisan Nasional pada PRU14. – 1 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen