Pastor diculik pernah diganggu pihak berkuasa agama, kata panel AS


The Malaysian Insight

Kaum keluarga dan sahabat handai terus mendoakan kepulangan Pastor Raymond Koh yang diculik sejak Februari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2017.

PIHAK berkuasa agama Malaysia sebelum ini didapati mengganggu Pastor Raymond Koh selepas mengesyaki beliau memurtadkan orang Islam kepada agama Kristian, kata suruhanjaya kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap kebebasan beragama yang menyedari kebimbangan yang semakin meningkat di kalangan minoriti di sini mengenai kebebasan mengamalkan agama mereka.

Dalam laporan tahunannya, Suruhanjaya Kebebasan Beragama AS (USCIRF) menambah kebimbangan ini diperkukuhkan lagi dengan laporan pemimpin agama diganggu dan diculik.

Pastor Raymond Koh diculik pada siang hari pada Februari yang dilihat seperti satu operasi terancang. Tiada sebarang permintaan wang tebusan atau komunikasi daripada penculiknya, menunjukkan wang bukanlah motif perbuatan itu.

Polis tidak mempunyai banyak kemajuan dalam siasatan mereka terhadap kes yang membimbangkan Kristian dan agama lain.

Gereja dan kumpulan Kristian mempertikaikan walaupun Koh terlibat dengan cubaan memurtadkan orang Islam, terdapat ruang untuk mendakwanya di mahkamah.

Malaysia disenaraikan sebagai negara Tahap 2 dalam laporan yang dikeluarkan minggu ini. Tahap 2 adalah negara di mana kebebasan beragama memerlukan pemantauan rapi kerana berikutan sifat dan takat pelanggaran yang dibenarkan kerajaan. Negara lain termasuk dalam Tahap 2 adalah Afghanistan, Cuba dan India.

Suruhanjaya itu berkata rakyat Malaysia umumnya bebas beribadah tetapi minoriti sering mengalami diskriminasi berkaitan kepercayaan mereka, dan ada yang berhadapan kesulitan mengakses bahan agama, seperti Bible, dan mendapatkan kebenaran untuk membina rumah ibadat.

Ia menambah terdapat laporan penyebaran agama Islam secara meluas berlaku di sekolah awam, malah sekolah Katolik.

“Majoriti Melayu Islam semakin mengenakan pandangan ketat dan norma kepada minoriti etnik dan agama yang bukan sahaja memberi kesan kepada kemampuan kumpulan tersebut mengamalkan agama secara bebas, tetapi juga mengekang kehidupan seharian mereka. Agama dan etnik minoriti menyatakan kebimbangan mengenai kerajaan dasar pro-Melayu dan limitisi terhadap hak mereka untuk mengamalkan kepercayaan secara bebas,” kata suruhanjaya itu.

Ia menegaskan dwi sistem mahkamah, sivil dan syariah, serta peguam undang-undang persekutuan dan negeri, surat perintah sultan, fatwa, menghakis tanggapan sebuah negara sekular dan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia.

Suruhanjaya itu mencadangkan kepada kerajaan AS:

* Hak asasi manusia dan kebebasan beragama atau kepercayaan dilakukan secara konsisten dan secara terbuka di setiap peringkat hubungan Malaysia-AS.

* Ia menggesa kerajaan Malaysia memastikan semua undang-undang dan dasar mematuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa, terutamanya berkenaan kebebasan beragama dan bersuara agama, termasuk hak menggunakan perkataan “Allah”.

USCIRF memantau hak kebebasan beragama dan kepercayaan di luar AS dan membuat cadangan dasar kepada presiden Amerika Syarikat, setiausaha negara dan kongres. – 1 Mei, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen