Wakil rakyat tunggal PAS di Pulau Pinang tiada masalah bekerja dengan DAP


Looi Sue-Chern

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir Mohd Salleh Man mengekalkan keputusannya bekerja dengan pentadbiran pimpinan DAP pada masa sama enggan keluar daripada PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2017.

KETIKA rakan separtinya menghentam parti dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam muktamar PAS yang sedang berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah, seorang wakil rakyat PAS tinggal di rumah bagi merawat demamnya di Pulau Pinang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir Mohd Salleh Man, satu-satunya calon parti Islam yang memenangi kerusi di Pulau Pinang, menjauhkan diri daripada semua aksi dan ketegangan.

“Saya bukan perwakilan. Saya tidak berada dalam kepimpinan (negeri). Saya juga tinggal di rumah kerana demam,” kata ahli politik yang pernah menjadi pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Salleh ketawa apabila diberitahu terlepas semua aksi di mana perwakilan PAS di perhimpunan itu menyerang parti dan pemimpin PH, termasuk kerajaan Pulau Pinang di mana beliau merupakan sebahagian daripadanya.

Beliau tidak memberikan komen mengenai perkara itu, hanya berkata melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat lebih penting.

“Bagi saya, apa yang penting berkhidmat kepada pengundi saya. Setakat ini, saya tidak mempunyai masalah. Saya bekerja seperti biasa di Pulau Pinang,” katanya.

Kerusi Salleh di kawasan Parlimen Permatang Pauh sinonim dengan PKR dan pemimpin de facto Anwar Ibrahim yang kini di dalam penjara menjalani hukuman bagi kesalahan liwat dan penyandangnya, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Salleh pertama kali memenangi kerusi Permatang Pasir pada pilihan raya kecil 2009 bagi menggantikan Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS, yang memegang kerusi itu selama tiga penggal sehingga meninggal dunia. Salleh mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya lepas.

Apabila PAS memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015, menyebabkan kejatuhan Pakatan Rakyat, Salleh mendapati dirinya dalam kedudukan yang janggal.

Pada November 2015, PAS Bahagian Permatang Pauh mengumumkan ia memutuskan hubungan dengan Salleh kerana wakil rakyat itu secara terbuka menyuarakan sokongan terhadap PH, gabungan baru yang terdiri daripada DAP, PKR dan parti serpihan PAS, Amanah.

Beliau juga dicabar wakil Barisan Nasional Pulau Pinang agar keluar daripada PAS jika menyokong kerajaan negeri.

Walaupun diserang, Salleh mengekalkan keputusannya bekerja dengan pentadbiran pimpinan DAP pada masa sama enggan keluar daripada PAS.

Senario semasa di mana PAS di ambang mengakhiri kerjasama dengan PKR tidak memberi sebarang perubahan kepadanya.

“Keutamaan saya kekal untuk berkhidmat kepada pengundi sehingga akhir penggal.

“Saya tiada masalah bekerja dengan kerajaan negeri. Saya kerap bertemu Ketua Menteri (Lim Guan Eng) di banyak majlis. Kami baru bertemu semalam,” katanya.

Ditanya sama ada beliau dijangka akan bertanding untuk mempertahankan kerusinya, kubu kuat PAS pada pilihan raya umum ke-14, beliau berkata: “Ini adalah penggal kedua saya. Kita tunggu dan lihat.”

Awal hari ini, Lim memberitahu pemberita beliau tidak mempunyai keraguan dengan kesetiaan Salleh kepada pentadbiran negeri Pulau Pinang.

Lim, yang juga setiausaha Agung DAP berkata, Salleh sentiasa memberi “sokongan tidak berbelah bahagi”.

“Kami tidak meragui kesetiaannya. Beliau tidak pernah melakukan apa-apa yang membuat kita ragu-ragu terhadapnya. Saya tidak bercakap dengan beliau mengenai kedudukannya, memandangkan parti sudah membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang lain. Mereka bergerak ke arah Umno.

“Jika keadaan memerlukan, saya akan berbincang dengan Salleh,” kata Lim. – 30 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Yg sebenarnya, Lim Guan Eng takut nk apa-apakan wakil rakyat PAS PP. Dia takut org melayu islam PP mengamuk... Lim Guan Eng chicken...

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Aris Penampar · Ulasan