Bersatu: Selepas berbulan berbincang, akhirnya dimalukan PAS


Sheridan Mahavera

HARI ini akan ada banyak wajah gelisah dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – sehari selepas Presiden PAS Hadi Awang memanggil parti baharu itu “tanpa hala tuju dan tiada pemimpin yang jelas”.

Hinaan dibuat Hadi itu berniat untuk menyakitkan dan memalukan, dan daripada tindakan itu, Muhyiddin Yassin serta yang lain dalam Bersatu paling terasa pedihnya.

Selama ini, mereka yakin selepas berbulan perbincangan dibuat melalui pelbagai saluran dengan pemimpin PAS, mereka akhirnya akan menjadi satu pakatan – parti Islam itu dan Bersatu, manakala Umno sebagai musuh bersama.

Semua pertemuan berjam-jam lamanya itu kini hanya sia-sia.

Kalaulah pemimpin Bersatu beri lebih perhatian kepada apa yang Dr Mahathir Mohamad katakan. Sudah lebih tiga dekad Dr Mahathir kaji tindakan Hadi dan memerhatikan gerak bahasanya yang mesra Umno sejak akhir-akhir ini, bekas perdana menteri itu percaya partinya diperdaya secara halus selama ini.

Beliau percaya presiden PAS itu tidak ada niat untuk bekerjasama dengan pembangkang dan akan memilih bersendirian pada PRU14 – laluan yang akan menyebabkan pertandingan tiga penjuru dan akan memecahkan undi pembangkang.

Tetapi, Dr Mahathir dengan berat hati teruskan saja hasrat partinya untuk meneruskan rundingan dengan PAS, memandangkan Bersatu perlukan kelebihan pada PAS dalam menambat hati pengundi di kawasan majoriti Melayu.

Tambahan pula, ada yang merasakan Muhyiddin mempunyai kedudukan untuk mengadakan persetujuan dengan Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin kanan PAS yang lain bagi mengelak berlakunya pertindihan antara calon daripada kedua-dua parti.

Semua harapan itu berkecai apabila Hadi kini berkata PAS tidak mahu ada ikatan dengan Bersatu.

Ahli majlis tertinggi Bersatu Dr Faiz Na’aman bengang dengan komen Hadi.

“Setakat ini ada tiga mesyuarat dengan wakil PAS tetapi ada pemimpin kanan tertentu yang nampaknya mahu rundingan itu gagal.

“tetapi kami tahu ahli akar umbi sendiri mahu hubungan dengan Bersatu,” katanya.

Seorang lagi ahli majlis tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin berkata beliau tahu rundingan masih diteruskan walaupun di kalangan peringkat akar umbi hingga ke muktamar.

“Saya tahu ada perbincangan berlaku secara tertutup. Sudah tentu Hadi main wayang dengan kita.

“Sekarang semuanya lebih kompleks. Jadi kita perlu tunggu hingga akhir muktamar untuk tahu apa sebenarnya pendirian mereka,” kata Rais kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, Faiz berkata tindakan Hadi mengingatkannya ketika pada 2008, sejurus sebelum PRU13, bila Umno memikat PAS dengan idea “kerajaan perpaduan” terdiri daripada wakil rakyat Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan negeri Perak dan Selangor.

Dua puak pemimpin PAS kemudian muncul, ada yang menyokong kerajaan perpaduan dan ada menentang.

Bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat kemudian membawa PAS lebih dekat kepada PKR dan DAP. Tetapi Hadi lebih suka kerajaan perpaduan. Di akhirnya, Nik Aziz menang.

Masa berubah. Lebih setahun selepas kematian Nik Aziz, wawasan pemimpin Kelantan berkarisma itu yang PAS mesra pembangkang sudah terkubur.

Bersatu temui fakta itu dengan cara yang menyakitkan dan memalukan. – 30 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen