Harum manis, politik dan PAS


Diyana Ibrahim

Kain rentang harum manis dipasang di Mergong dan Simpang Empat, laluan berhampiran Muktamar PAS di Kota Sarang Semut, Kedah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 April, 2017.

HARUM manis sejenis buah mangga dari Perlis yang digemari ramai. Kulitnya berwarna hijau dan isinya yang jingga memiliki manis dan berbau harum.

Namun dalam politik,  harum manis lebih sinonim kepada istilah pengkhianatan kepada mereka yang masih berada dalam PAS tetapi menyokong parti serpihan, Amanah.

Tiga pemimpin yang sering dikaitkan dengan harum manis ialah bekas yang dipertua PAS Amiruddin Hamzah, Adun Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa dan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.

Mereka mendapat jolokan pemimpin harum manis kerana pendirian yang tidak selari dengan PAS Pusat termasuk presiden Hadi Awang.

Kebencian PAS terhadap wakil rakyat harum manis begitu menyerlah apabila wajah pemimpin itu terpapar di kain rentang dengan mesej jelas mendesak mereka keluar parti pada pembukaan Muktamar PAS kali ini.

Sebelum ini, tiga wakil rakyat itu melanggar arahan PAS Pusat untuk tidak menyertai himpunan Bersih 5 tahun lalu.

Amirudin meletakkan jawatannya sebagai yang dipertua PAS Kuala Kedah dan disusuli Nasir sebagai timbalannya atas alasan tidak dapat memikul arahan PAS Pusat.

Kain rentang itu dipasang di Mergong dan Simpang Empat, laluan berhampiran Muktamar PAS di Kota Sarang Semut, Kedah.

Dengan coretan ayat; “Harum manis : luar hijau dalam oren” manakala di bahagian bawah kain itu terpampang wajah pemimpin berkenaan tertera ayat “Sila keluar dari PAS, tuntutan penyokong kuat PAS Kedah”.

Meskipun isu pemimpin harum manis menjadi duri dalam daging kepada kepimpinan tertinggi PAS namun akar umbi tidak melihat ia perlu diperbesarkan.

Perwakilan Mohd Haslin Hasan memberitahu The Malaysian Insight, secara peribadinya beliau tidak ada masalah dengan ketiga-tiga pemimpin tersebut.

Katanya, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dalam parti politik.

“Tak salah kalau ada pandangan berbeza, bagi kita tidak ada masalah dengan perkara tersebut, biasalah dalam parti mesti ada perkara begini.

“Bagi saya perbezaan pendapat tidak harus dijadikan sebagai satu isu besar,” kata perwakilan dari Sepang itu.

Perwakilan wanita dari Tuaran Sabah, Ummi Faizah berkata isu mendesak pemimpin parti itu keluar sebagai perkara remeh.

Katanya, beliau percaya PAS tidak pernah mendesak sesiapa ahlinya untuk keluar parti begitu saja.

“Kalau mereka nak keluar, dah lama dah mereka nak keluar, tapi sekarang mereka masih ada dalam PAS, jadi tidak ada isu pun.

“Dan kalau kita tengok PAS bagaimana pun mereka tidak akan keluarkan ahli jika itu jadi jalan terakhir,” katanya.

Kebanyakan perwakilan yang ditemui percaya perbuatan menaikkan kain rentang itu didalangi ahli PAS sendiri.

Ummi berkata ia bukan cara PAS kerana ahli parti Islam itu begitu menghormati keputusan pimpinan tertinggi.

Sementara itu, Mahfuz ketika dihubungi berkata beliau tidak terkesan dengan tindakan menaikkan kain rentang berkenaan.

Walau digelar pemimpin harum manis, Mahfuz mendakwa masih lagi setia menjadi ahli PAS.

“Saya masih ahli PAS, masih dengan PAS sebab saya ingin menyelamatkan PAS terus tersisih daripada politik arus perdana,” katanya.

Muktamar kali ini juga menyaksikan bekas ketua penerangan PAS itu tidak dijemput menghadiri persidangan kali ini.

Nasir berkata beliau menangani isu itu secara positif menganggap ia petanda PAS masih ingat kepadanya.

“Kalau mereka letak kain rentang itu ada wajah saya, maksudnya mereka ingatlah saya,” katanya.

Nasir yang tidak dijemput menghadiri Muktamar kali ini berkata hubungannya dengan PAS Pusat masih baik.

“Ya saya tak dijemput, sebab saya ini ahli PAS biasa, dan mungkin mereka tak jemput Adun,” katanya. – 30 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen