Anwar: Putrajaya hendak guna skandal BNM serang Dr Mahathir


Muzliza Mustafa

BEKAS timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim bertegas beliau sentiasa konsisten dengan keterangannya berhubung skandal pertukaran mata wang asing (forex) Bank Negara (BNM), hari ini.

Katanya, sekarang Putrajaya mahu menggunakan keterangannya itu untuk menyerang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang sedang berjuang menjatuhkan pentadbiran Najib Razak.

“Saya memang konsisten dengan keterangan saya. Mereka mahu guna ia menentang Dr Mahathir. Tetapi saya kata tidak, hanya perlu respons terhadap fakta itu,” katanya.

Katanya, beliau ada meminta kakitangan BNM pada masa itu, Nor Mohamed Yakcop dan gabenor untuk meletak jawatan.

“Saya minta Nor Mohamed Yakcop letak jawatan kerana dia terlibat. Kami letak syarat dia tidak boleh berada dalam institusi kewangan itu,” kata Anwar.

Anwar pada masa itu ialah menteri kewangan di bawah pentadbiran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang memegang jawatan itu selama 22 tahun sebelum melepaskannya kepada A bdullah Ahmad Badawi, dan beberapa tahun kemudian meletak jawatan untuk memberi laluan kepada perdana menteri sekarang Najib Razak.

Beliau berkata sesiapa yang hendak memahami isu itu dengan lebih mendalam, boleh membaca laporan tahunan BNM dan juga hansard.

Anwar berkata demikian sebagai respons kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak yang menuduhnya flip flop dalam memberi keterangan berhubung skandal forex BNM itu.

Salleh menerusi artikel dalam blognya pada Khamis mengulas mengenai kenyataan media dikeluarkan Anwar berhubung kes itu.

Katanya, kenyataan itu kelihatan seperti dibuat untuk disesuaikan dengan situasi politik Anwar sekarang.

“Bila dia dengan Dr Mahathir, Anwar cakap begini. Bila dia menentang Dr Mahathir, dia cakap benda lain,” katanya.

Salleh berkata pada 1993, Anwar menafikan BNM kerugian wang daripada pasaran forex.

“Ini respons kepada soalan dibangkitkan Lim Kit Siang di Parlimen yang anda boleh periksa dalam hansard Parlimen. Pada 1994 Anwar beritahu Parlimen ia kerugian kecil dan hanya ‘kerugian atas kertas’.

“Beliau juga menyalahkan gabenor BNM dan berkata gabenor sudah diminta meletak jawatan,” kata Salleh.

Salleh bagaimanapun berkata Anwar dalam satu forum di Pulau Pinang pada 2012, menukar ceritanya.

Pada forum itu juga, hadirin diberitahu kerugiannya ialah AS$10 bilion dan mereka menyalahkan tiga orang, termasuk Daim Zainuddin dan Mahathir.

Katanya, Anwar kini menyatakan sesuatu yang lain dan hanya menyalahkan Nor Mohamed Yakcop.

Salleh berkata itu sebabnya siasatan lanjut perlu dibuat terhadap perkara itu.

“Jika kebenaran sudah terdedah 24 tahun lalu, tidaklah kita masih menyiasat perkara itu hari ini,” katanya.

Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian forex BNM pada 14 Mac.

Bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan mengetuai pasukan siasatan.

Ia akan menyiasat sama ada berlaku tindakan melindungi kerugian itu, dan berlaku kenyataan yang mengelirukan berhubung perkara itu yang dibentangkan di Parlimen.

Pasukan petugas khas itu akan menghantar syor bagi tindakan selanjutnya kepada kerajaan, termasuk kemungkinan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja jika perlu, berdasarkan kepada keputusan siasatan itu. – 28 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen