119 pengundi hantu dikesan di Melaka, kata Bersih


Low Han Shaun

engerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata luar biasa bila seluruh keluarga 32 orang semuanya tinggal dalam sebuah rumah di Bukit Baru, Melaka. – Gambar The Malaysian Insight, 25 April, 2017.

BADAN pemantau pilihan raya Bersih 2.0 berkata terdapat 119 pengundi hantu dikesan di Melaka yang berdaftar di bawah alamat rumah yang boleh dipertikaikan.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata 73 pengundi baharu di Bukit Baru itu didaftarkan menggunakan dua alamat rumah yang berbeza sementara 46 pengundi baharu di Bachang didaftarkan di bawah alamat rumah tidak bernombor.

“Mengikut keadaan biasa anda tidak akan ada rumah seperti ini di mana seluruh keluarga 32 orang semuanya tinggal dalam sebuah rumah di Bukit Baru,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih hari ini.

Maria berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan pendaftaran automatik bagi mengelak pengundi hantu muncul di dalam sistem.

“Kami sudah berikan syor, sepatutnya mereka perlu melaksanakan pendaftaran automatik, jadi anda akan ada semua orang dengan alamat penuh mengikut kad pengenalan masing-masing.

“Memandangkan SPR tidak berminat dengan pendaftaran automatik, jadi ia menimbulkan persoalan mengapa mereka tidak mahu menggunakannya,” katanya.

Maria berkata Bersih 2.0 juga membuka talian telefon kepada orang ramai yang hendak melaporkan mengenai percanggahan dalam pendaftaran mengundi mereka.

“Perlu untuk kami menjejaki setiap pihak, siapa yang dibuang, atau berdepan bantahan, dan sebab lain untuk melaporkan kepada kami ialah percanggahan yang wujud seperti situasi ini.

“Kami kemudian boleh membangkitkan perkara itu kepada media dan menyerahkan percanggahan itu kepada SPR, untuk diambil tindakan,” katanya.

Bersih 2.0 mendapati daripada 73 pengundi berdaftar di Bukit Baru itu, 32 didaftarkan di No.1, Jalan SJ1, Taman Saujana Jaya, Bukit Katil dan 41 lagi menggunakan alamat Batu 4 1/2, Kampung Bukit Beruang tanpa nombor rumah.

Seramai 46 pengundi lain di Bachang berdaftar di bawah alamat Batu 21/2 Solok Musai, tanpa nombor rumah.

Talian hotline Bersih 2.0 ialah 011 1131 3803 atau boleh hubungi mereka menerusi emel [email protected]. – 25 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen