Annuar tiba di ibu pejabat Mara bantu siasatan tajaan bola sepak Kelantan


Muzliza Mustafa

Annuar Musa tiba di ibu pejabat Mara pagi ini untuk memberi keterangan berhubung tuduhan beliau menyalahgunakan dana dan kuasa untuk tajaan pasukan bola sepak Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 April, 2017.

KETUA Penerangan Umno Annuar Musa yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan salah guna kuasa dan dana, tiba di ibu pejabat Mara pagi ini bagi menjawab dakwaan itu.

Beliau yang digantung daripada jawatan pengerusi Mara masuk ke bangunan itu dalam keadaan tenang pada jam 10.28 pagi, ditemani pembantunya dan terus naik ke tingkat 24 di mana lembaga pengarah sedang menunggu.

Annuar digantung selepas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuduhnya menggunakan kedudukan sebagai pengerusi Mara untuk memaksa Pelaburan Mara Bhd (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menaja pasukan bola sepak Kelantan sebanyak RM700,000.

Annuar menegaskan Mara tidak menaja pasukan Kelantan dan berkata UniKL ialah entiti swasta yang membuat keputusan sendiri.

UniKL dimiliki sepenuhnya oleh Mara sementara PMB ialah syarikat pelaburan agensi itu.

Walaupun Annuar menafikan tuduhan itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri Yaakob mengarahkan kedua-dua unit Mara itu menghentikan tajaan.

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh, ialah bekas presiden Persatuan Bola sepak Kelantan sehingga November lalu, tetapi kekal bertindak sebagai penasihat persatuan. – 25 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen