Apa kuasa PAS suruh kita jauhi kerusinya, kata Pakatan Harapan


Zulkifli Sulong

Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata Pakatan Harapan tidak membuat sebarang perjanjian dengan PAS menjadikan mereka bebas bertanding di mana pun pada PRU akan datang. – Gambar The Malaysian Insight, 25 April, 2017.

BAGI Pakatan Harapan, perjuangan mereka ialah menentang Barisan Nasional (BN) dan memastikan ia tewas dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata pemimpin gabungan pembangkang itu, susulan PAS memberi amaran jangan bertanding di kerusi dipegang parti Islam itu.

Bengang dengan amaran itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata Pakatan Harapan tidak membuat sebarang perjanjian dengan PAS menjadikan mereka bebas bertanding di mana pun pada PRU akan datang.

Ketua penerangannya, Kamarudin Md Nor berkata demikian ketika mengulas mengenai amaran PAS supaya jangan berani bertanding di kerusi yang dipegang PAS, jika benar fokus utama Pakatan Harapan ialah menewaskan BN.

“Dia siapa nak larang kita. Kenapa PAS tidak larang Umno juga agar jangan bertanding di kerusinya,” kata Kamarudin kepada The Malaysian Insight.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dipetik sebagai memberi amaran kepada bekas rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan supaya tidak bertanding di kerusi yang dipegangnya pada PRU akan datang.

Beliau berkata PAS tidak akan teragak-agak untuk berebut dalam pertandingan pelbagai penjuru menentang BN dan juga kerusi yang dituntut PKR pada dua PRU lalu.

Kamarudin berkata pada masa sama Bersatu mengambil sikap sedia berunding dengan siapa saja untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru bagi melawan BN, tetapi bukan melalui ugutan.

Pandangan itu dikongsi rakan dalam Pakatan Harapan khasnya Amanah dan PKR yang berkemungkinan besar terlibat dengan pertindihan kerusi dengan PAS.

Setiausaha Agung dan Pengarah Pilihan Raya PKR Saifudin Nasuition Ismail berkata PKR dan Pakatan Harapan hanya berunding mengenai kerusi yang akan ditandingi bersama rakan kongsi mereka saja.

“Kami hanya runding di kalangan komponen kami saja,” kata Saifudin kepada The Malaysian Insight.

Katanya, Pakatan Harapan berhasrat untuk memastikan satu lawan satu dengan BN.

“Jika ada mana-mana pihak yang masuk untuk jadikan pertandingan tiga penjuru, kami anggap mereka berbuat demikian untuk memenangkan BN,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata beliau tidak pernah jumpa parti sepelik PA dan amaran itu hanya boleh dilakukan di planet Marikh saja bukan di bumi.

“Ini negara demokrasi dan sesiapa boleh bertanding di mana saja jika tidak ada apa-apa perundingan,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

PAS menyasarkan untuk bertanding 80 kerusi Parlimen dalam PRU14.

Di Selangor, PAS bersedia untuk bertanding di semua 45 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di Selangor, kata pesuruhjayanya, Iskandar Samad. – 25 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen