Amaran PAS pada bekas sekutu: Jangan dekati kerusi kami di PRU14


PAS berkata Pakatan Harapan perlu mendengar pendirian parti Islam itu jika fokus utama mereka menewaskan Umno dan BN, bukannya mengganggu milik PAS. – Gambar The Malaysian Insight, 25 April, 2017.

MENJELANG muktamar PAS hujung minggu ini, parti Islam itu memberi amaran kepada bekas rakan sekutunya supaya tidak bertanding di kerusi yang dipegangnya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS tidak akan teragak-agak untuk berebut dalam pertandingan pelbagai penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan juga kerusi yang dituntut PKR pada dua PRU lalu.

Menurut laporan The Star hari ini, Tuan Ibrahim berkata “rakan dalam Pakatan Harapan perlu mendengar pendirian kami jika fokus utamanya ialah menewaskan Umno dan BN, bukannya mengganggu milik kami”.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan pra pilihan raya PAS Selangor di Kuala Kubu Baru semalam.

Akhbar itu melaporkan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata parti itu bersedia untuk bertanding di semua 45 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di Selangor.

PAS mengintai 20 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen berdasarkan kepada formula yang ditetapkan pada PRU13 ketika ia masih sebahagian daripada rakan dalam Pakatan Rakyat.

PAS meninggalkan Pakatan Rakyat selepas tidak sehaluan dengan DAP berhubung rang undang-undang RUU 355 yang dibawa presidennya Abdul Hadi Awang, yang memohon hukuman di mahkamah syariah diperkasakan.

Gabungan baharu pembangkang, Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Parti Primbumi Bersatu Malaysia dan parti serpihan PAS, Amanah.

PAS pada masa ini memegang 13 kerusi dalam DUN Selangor. – 25 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen