Jawatan PM pasti milik saya jika itu rancangan sebenar bapa


Sheridan Mahavera

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir menolak kritikan yang beliau dan bapanya mengkritik kerajaan kerana gagal dilantik menteri dan berada dalam laluan ke jawatan perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight, 25 April, 2017.

MUKHRIZ percaya jika bapanya, Dr Mahathir Mohamad memang mahukannya jadi perdana menteri, beliau sudah pasti berada di kedudukan tertinggi dalam kerajaan sejak lama dulu.

Menangani kritikan berterusan yang bapa dan anak itu menyerang Umno pada masa ini kerana beliau tidak dapat jadi perdana menteri, Mukhriz yang kini timbalan presiden Bersatu berkata kemunculannya dalam politik bermula pada 2004, setahun selepas Dr Mahathir bersara.

“Jika beliau ada cita-cita begitu untuk saya, sudah tentu beliau bawa saya ke jawatan tinggi dalam kerajaan ketika beliau masih PM selama 22 tahun lamanya,” kata Mukhriz kepada The Malaysian Insight.

“Bukan saja beliau tidak buat begitu, malah dilarangnya saya dan adik-beradik lain memegang apa juga jawatan kerajaan, dan menafikan hak kami untuk bertanding dalam pemilihan parti ketika beliau masih PM dan presiden Umno,” katanya.

Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno pada penghujung 2003 ketika perhimpunan agung parti tahun berkenaan.

Selepas dipilih sebagai ahli jawatankuasa eksekutif Pemuda Umno pada 2004, Mukhriz mendaki tangga dalam Umno. Pada 2009, beliau dilantik sebagai timbalan menteri dalam pentadbiran Najib Razak.

Pada 2013, Mukhriz bertanding di kerusi DUN di Kedah dan mengambil alih negeri itu daripada pembangkang, Pakatan Rakyat. Beliau kemudian dilantik sebagai menteri besar Kedah.

Bapa dan anak itu kemudian keluar dari Umno pada awal 2016 selepas mendakwa pembabitan presiden parti dalam skandal 1Malaysia Development Berhad.

Pemimpin Umno mendakwa Dr Mahathir dan Mukhriz tidak berpuas hati selepas Mukhriz tidak dilantik ke jawatan menteri menyebabkan laluan sukar baginya menjadi perdana menteri.

“Jika saya ada cita-cita jadi PM, kenapa saya secara khusus minta bertanding kerusi DUN di Kedah, bukan Parlimen pada PRU13?

“Itu sebabnya memang mengarut bila ada yang kata bapa saya menarik balik sokongannya kepada Najib kerana saya tidak dilantik jadi menteri atau tidak berada di laluan untuk menjadi perdana menteri,” katanya.

Di bawah ialah sebahagian temu bual bersama Mukhriz.

S: Pertama sekali, boleh anda beritahu bagaimana rasanya ketika disingkirkan daripada jawatan menteri besar Kedah, terutama sekali selepas anda berjaya membantu membawa BN kembali memenangi Kedah pada 2013?

Mukhriz: Melihat kepada langkah berani Ahmad Bashah dan Umno Kedah mengisytiharkan undi tidak percaya terhadap saya sebagai MB dan pengerusi Umno Kedah, tanda seperti itu, mungkin juga arahan daripada Najib sendiri yang mahu saya tersingkir, ia sudah ketara pada saya.

Selalu memilih untuk tidak dipersalahkan, Najib tidak akan buat sendiri perkara itu sebelum menampakkan ia seperti desakan daripada orang lain. Oleh sebab saya membuat kritikan secara umum terhadapnya, sudah jelas yang saya tidak akan kekal sebagai MB walaupun untuk satu penggal.

Walaupun BN berjanji kepada rakyat pada penghujung tempoh kempen PRU13 yang saya akan dilantik jadi MB jika rakyat kembalikan BN sebagai kuasa pemerintah di Kedah.

Saya rasa tindakan Najib itu jelas satu pengkhianatan kepada rakyat. Maka saya tidak rasa terluka secara peribadi. Sebaliknya saya tahu ini akan jadi penghinaan kepada kepercayaan yang rakyat beri kepada BN bagi membolehkan gabungan itu merampas Kedah kembali daripada PAS dan Pakatan Rakyat.

S: Anda pernah jadi pemimpin Umno, timbalan menteri dan menteri besar. Bagaimana rasanya sekarang untuk berada di pihak lain, menentang Umno?

Mukhriz: Pada mulanya saya fikir ia seperti saya jadi murtad! Pengkhianat kepada perjuangan itu. Tetapi ia dengan serta-merta menyedarkan saya pemimpin Umno sendiri yang mengkhianati perjuangan itu.

Kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara. Rasuah menjadi sangat penting kerana kuasa mendapatkan kekayaan, dan kekayaan akan membeli lebih banyak kuasa. Kuasa itu kemudian disalah guna untuk menutup salah laku.

Ketika saya terperangkap dalam kancah ini, saya cuba menyuarakan kritikan secara dalaman. Tetapi cubaan saya untuk bertanding jawatan dalam parti digagalkan oleh politik wang.

Menyedari Umno sudah rosak dan tidak dapat dibaiki lagi, saya dan ramai yang lain dari Umno terpanggil untuk membentuk satu parti baharu Melayu. Melihat bagaimana mustahilnya membaiki Umno, peluang untuk bermula daripada parti yang bersih menjadi satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah itu.

Maka, melihat kepada sokongan yang memberangsangkan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia daripada orang ramai, terutama Melayu, saya yakin kami membuat pilihan yang tepat.

S: Pemerhati melihat anda sebagai perdana menteri Umno pada masa depan dan jika anda masih dalam parti itu, mungkin akhirnya masa itu akan tiba. Dalam kalangan calon PM generasi akan datang, ia sama ada anda atau Khairy Jamaluddin. Malah, Najib sebelum ini mempercayai anda. Jadikan anda menteri besar dan anda tawan semula Kedah untuk Umno.

Bagaimana anda memutuskan untuk melepaskan semuanya itu dan menjadi pembangkang? Apa yang menyebabkan anda melepaskan semuanya?

Mukhriz: Saya betul-betul percaya Umno dan BN akan tewas pada pilihan raya umum akan datang. Maka Najib akan menjadi perdana menteri terakhir daripada Umno, kecuali jika beliau meletak jawatan sebelum PRU14 dan orang lain daripada Umno mengetuai parti pada pilihan raya. Orang itu, sama ada Hisham (Hishammuddin Hussein) atau Zahid (Ahmad Zahid Hamidi), akan menjadi PM Umno terakhir.

Satu-satunya impian saya ketika masih bersama Umno dan kini dengan PPBM dan Pakatan Harapan ialah melakukan perubahan untuk Malaysia dan rakyatnya. Sama ada saya berjaya mencapainya dalam kapasiti sebagai pegawai rasmi kerajaan atau tidak, ia tidak penting bagi saya.

Jika saya ada cita-cia jadi PM, kenapa saya secara khusus minta bertanding kerusi DUN di Kedah, bukannya Parlimen pada PRU13?

Itu sebabnya memang mengarut bila ada yang kata bapa saya menarik balik sokongannya kepada Najib kerana saya tidak dilantik jadi menteri atau tidak berada di laluan untuk menjadi perdana menteri.

Sebagai MB Kedah, saya sedar tindakan seimbang antara kepentingan negeri dan persekutuan sukar dipertahankan bila persekutuan kemudian tidak memberikan perhatian secukupnya kepada Kedah.

Menjelang awal 2015, saya beritahu exco negeri dan penjawat awam tertinggi, ketika kita perlu buat pilihan antara kepentingan negeri dengan persekutuan, kita terikat untuk selalu meletakkan kepentingan negeri terlebih dulu.

Boleh anda bayangkan betapa sukarnya kerana kedua-duanya kerajaan BN, dan PM yang melantik saya sebagai MB. Tetapi walau apa pun, saya bertekad berjuang untuk Kedah.

Bagi menunjukkan kesungguhan kami, selepas membentangkan Bajet Kedah 2016 di Dewan Undangan Negeri pada November 2015, saya minta kerajaan persekutuan mengurangkan GST kepada 3% daripada 6%.

Saya tahu orang Kedah terjejas akibat kenaikan kos sara hidup selepas GST dilaksanakan. Saya rasa sebagai MB ia tanggungjawab saya untuk bercakap bagi pihak rakyat. Kurang mendapat sokongan Adun BN, saya tahu masa saya sudah tiba. Betul pun, dalam tiga bulan saya dipaksa letak jawatan.

Tetapi kerana saya tahu saya melakukan perkara betul, terpaksa turun dari jawatan tertinggi di negeri itu bukan satu kerugian bagi saya. Apa yang penting ialah mengetahui rakyat faham keadaan sebenar di sebalik peletakan jawatan saya, dan masih menyokong hingga hari ini.

S: Ia kelihatan seperti kebetulan yang anda mula mengkritik Najib pada masa sama Dr Mahathir berbuat begitu. Adakah anda akan buat begitu jika Tun tidak mengkritik Najib? Adakah anda akan keluar Umno dan menentang Najib serta Umno, jika Tun tidak buat begitu?

Mukhriz: Saya akui tidak mempunyai pemahaman penuh mengenai isu menyelubungi 1MDB pada peringkat awal. Tetapi selepas periksa sendiri dengan sumber saya mengenai apa yang Tun Mahathir canangkan, saya sedar beliau benar dalam kritikannya terhadap Najib.

Ketika kami mengkritik Tun Abdullah Badawi masa beliau perdana menteri, saya kekal dalam Umno sementara bapa saya keluar. Tetapi ketidakcekapan Pak Lah tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan salah guna kuasa yang dilakukan Najib.

Dalam apa juga keadaan Tun Mahathir tidak akan kekal dalam Umno sementara Najib terus dengan penipuannya. Saya rasa benda yang sama dan mula meluahkan kritikan terhadap Najib ketika saya merasmikan beberapa mesyuarat perwakilan Umno bahagian. Pada masa itu, saya bersedia menerima apa juga kesan tindakan saya, termasuk dipaksa meletak jawatan MB dan dipecat parti.

S: Bagaimana respons anda terhadap pengkritik yang terus berkata anda buat begini kerana Dr Mahathir mahu menjadikan anda perdana menteri?

Mukhriz: Jika beliau ada cita-cita begitu untuk saya, sudah tentu beliau bawa saya ke kedudukan tinggi dalam kerajaan ketika beliau masih PM untuk 22 tahun lamanya. Bukan saja beliau tidak buat begitu, malah dilarangnya saya dan adik-beradik lain memegang apa juga jawatan kerajaan, dan menafikan hak kami untuk bertanding dalam pemilihan parti ketika beliau masih PM dan presiden Umno.

Saya hanya menang undi tertinggi ahli exco Pemuda Umno pada 2004, setahun selepas bapa saya bersara.

Sesiapa yang masih membuat tuduhan tidak berasas itu hanya cuba meremehkan usaha Tun Mahathir untuk menyelamatkan negara ini. Tun tidak pernah bertindak untuk kepentingan keluarganya, melebihi negara. Dan beliau tidak akan memulakannya sekarang. – 25 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen