Kontroversi 'puisi lembu', mufti Perlis mohon maaf


Muzliza Mustafa

SELEPAS kontroversi puisi, yang didakwa mengkritik penganut Hindu kerana mendewakan lembu, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf kepada masyarakat bukan Islam, terutama penganut Hindu kerana salah tafsiran makna sebenar puisi itu.

Puisi itu dibuang pentadbir Facebook Asri semalam.

Saya berbicara dengan beberapa rakan non-Muslim yang dengan sopan dan santun memberikan respons mereka terhadap puisi saya yang kontroversi itu. Kebanyakan mereka sangat positif dengan segala pandangan saya sebelum ini. Bahkan ada yang menyatakan mereka mendekati Islam disebabkan mengikuti pandangan dan pendapat saya sebelum ini. Mereka rasa puisi itu boleh menimbulkan salah faham tentang maksud saya apatah lagi apabila Hindraf memainkan peranan mereka,” kata Asri dalam satu kenyataan.

Kenyataan panjang dan permohonan maaf itu dimuat naik di Facebook beliau, beberapa jam selepas berkongsi pautan artikel mengenai keluarga Islam diserang sekumpulan penganut Hindu ekstrem di India.

Katanya kepada The Malaysian Insight, niatnya memuat naik artikel selepas mengeluarkan puisi kontroversi daripada Facebook adalah untuk memperlihatkan apa yang berlaku di India.

“Saya mahu membuktikan apa yang saya katakan adalah betul. Itulah yang berlaku di India,” kata Asri dalam teks jawapannya kepada wartawan.

Beliau berkata mahu memberitahu mereka puisinya itu disasarkan kepada kerajaan India di bawah Perdana Menteri Narendra Modi.

Beliau berkata perkataan “mempertuhankan” tidak bermaksud menyembah.

“Dalam bahasa Melayu, ‘mempertuhankan’ bermaksud memuliakan berlebihan. Ia seperti seseorang berkata nafsu mengatasi segala-galanya. Itulah yang berlaku di India apabila ada pihak sanggup menyalahgunakan atau membunuh manusia lain kerana lembu”.

Menyentuh mengenai Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), Asri berkata, ia adalah sebuah organisasi pelampau yang cuba mencetuskan ketegangan antara penganut Hindu dan Islam di negara ini melalui tindakan provokatif.

“Rakyat perlu menjauhkan diri daripada tindakan provokatif,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang bukan Islam yang menentang pendakwah Islam Dr Zakir Naik agar  tidak terpengaruh oleh Hindraf.

“Sebaliknya, cari bukti daripada ucapan beliau untuk menunjukkan ia mengandungi ekstremisme, bukan berdasarkan dakwaan. Jika terdapat bukti yang jelas, saya bersedia menentang perkara itu,” katanya dalam kenyataan itu.

Asri sebelum ini berkata Hindraf memutarbelitkan puisinya dan juga cuba campur tangan dalam hal ehwal Islam di Perlis selepas kerajaan negeri menjemput Zakir memberi khutbah Jumaat dua bulan lalu.

Pada Zakir, Asri berkata terdapat pihak termasuk orang Islam, yang tidak bersetuju dengan pendekatan Zakir.

“Saya juga mempunyai pandangan berbeza dan memberitahunya tentang keadaan di Malaysia. Beliau mempunyai pandangan yang berbeza. Itu adalah haknya. Tetapi itu tidak boleh digunakan untuk menuduhnya pengganas dan mesti diserahkan kepada India,” kata Asri.

Di akhir kenyataannya, Asri berkata: “Terutamanya kepada penganut Hindu yang salah faham puisi saya, saya ingin memohon maaf kepada mereka. Saya tidak pernah bermaksud Hindu secara umum yang tidak terlibat dalam isu ini.” – 24 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen