Nekad berhenti kerja untuk selamatkan khazanah alam


Diyana Ibrahim

Laili Basir nekad meneruskan usahanya untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai kepentingan memelihara khazanah alam semula jadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 April, 2017.

Kami teruskan siri memaparkan golongan rakyat biasa yang berjaya menjadikan Malaysia ini lebih baik. Fokus hari ini adalah Laili Basir, seorang pencinta alam sekitar yang membantu menyelamatkan Gua Merapoh.

TUJUH tahun lalu, kerajaan Pahang mengumumkan rancangan membina sebuah kilang simen bernilai RM1 bilion di Merapoh.

Kawasan ini merupakan satu antara pintu masuk ke Taman Negara, Taman Negara yang juga terkenal dengan ratusan gua bukit batu kapur yang melatari bandarnya.

Sebagai satu daripada keajaiban semula jadi di Asia Tenggara, kawasan di situ berisiko kehilangan keindahan dan daya tarikannya jika kilang simen yang mendapat kebenaran pihak berkuasa dibina, kata Laili Basir, 45, seorang daripada aktivis di belakang “Selamatkan Gua Merapoh” pada 2012.

Perjuangan mereka panjang dan sukar tetapi akhirnya, kerajaan Pahang mengalah.

Bagi Laili, Merapoh hanyalah permulaan bagi perjuangannya terhadap menyelamatkan alam sekitar.

“Ya, kilang simen itu dibatalkan tetapi kawasan sekitarnya masih berdepan ancaman seperti pembalakan dan usaha menyelamatkan hutan hujan tidak pernah berakhir,” kata Laili kepada The Malaysian Insight.

Anak kelahiran Johor yang tinggal di Jengka, Pahang itu berkata, berikutan kejayaan menyelamatkan Gua Merapoh, mereka mencadangkan kepada kerajaan negeri agar memberi tumpuan kepada ekopelancongan sebagai sumber pendapatan alternatif.

Ekopelancongan sebagai alternatif

“Kerajaan berpendapat jika mereka bersetuju dengan projek itu, ia akan menjadi pelaburan ke negeri ini. Sebab itu kami mencadangkan ekopelancongan sebagai satu cara untuk membangunkan kawasan itu tanpa merosakkan alam sekitar. Ekopelancongan akan menjana pendapatan dalam jangka masa panjang dan menjadi situasi menang-menang bagi semua pihak.”

Laili juga membantu menyelamatkan Pulau Selakan di Sabah pada 2012, di mana kerajaan negeri cuba memindahkan penduduk selepas menjual tanah kepada pemaju yang mahu membina resort.

“Kami lakukan kaedah yang sama. Kita berunding dengan kerajaan negeri dengan memberi alternatif konsep ekopelancongan. Alhamdulillah, kini penduduk dapat meneruskan kehidupan mereka di sana, malah kalau kita pergi ke sana, kini sudah terdapat banyak chalet dan inap desa yang diusahakan penduduk kampung sendiri.”

Kata Laili, semua aktiviti yang dianjurkan oleh kumpulannya serta hasil sumbangan orang ramai, tanpa bantuan kerajaan atau Kementerian Pelancongan.

Demi prinsip terhadap apa yang diperjuangkannya, Laili nekad berhenti kerja serta melepaskan jawatan sebagai pengurus di sebuah hotel dan bekerja sebagai pencuci tandas.

Beliau juga menerajui bantahan terhadap projek pembiakan ikan sturgeon di Pahang, yang dibiayai Felda pada 2013.

Lima individu kemudiannya ditahan kerana penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana ke atas projek pertanian.

Menghargai khazanah semula jadi

Laili berkata, Malaysia terkenal dengan alam semula jadi dan ia sesuatu yang malang kerajaan tidak mengiktiraf nilainya.

“Kita mempunyai ‘emas’ (khazanah alam semula jadi) tetapi tidak ramai menghargainya. Sebagai contoh, apabila saya cuba menyelamatkan Merapoh, saya pernah cuba memanggil pakar gua tempatan tetapi tidak hadir. Saya terpaksa beralih kepada pakar dari Croatia dan Jepun. Mereka bersedia menggunakan wang mereka sendiri datang ke sini dan membantu kita kerana terlalu berminat dan memandang tinggi khazanah kita.”

Bapa kepada dua anak itu berkata adalah penting untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai isu alam sekitar.

“Jika mereka dididik, maka konflik seperti Merapoh dan Pulau Selakan, boleh dielakkan. Kita perlu mendidik orang ramai menyelamatkan warisan semula jadi kita dan meninggalkan warisan untuk generasi akan datang.”

Baru-baru ini, Laili melancarkan “Hugs Project”, projek berasaskan komuniti. Sukarelawannya bertemu setiap akhir setiap bulan dan menjalankan kerja amal. Bulan ini, mereka akan ke Pulau Banggi untuk mengedarkan beg sekolah dan alat tulis.

Berita kesulitan dialami murid dari Pulau Banggi yang terpaksa meredah hutan berulang alik ke sekolah selama empat jam sehari menjadi tular selepas guru berkongsi masalah itu di media sosial.

“Kami juga berhasrat mendokumentasikan keajaiban alam semula jadi di Pulau Banggi – pulau terbesar di Sabah dan juga paling miskin.” – 24 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen