Ada pihak mahu Daim Zainuddin diam


The Malaysian Insight

BELIAU tidak memegang jawatan rasmi dalam kerajaan Malaysia. Beliau bukan panglima politik dengan ribuan tentera di belakangnya.

Dan tidak seperti Dr Mahathir Mohamad, beliau tidak rasa ada keperluan untuk dirinya didengar atau dilihat setiap hari. Namun, Daim Zainuddin masih menjadi individu yang dicari-cari.

Pengurus bank tempatan dan luar negara bertali arus datang ke pejabatnya di tingkat 4, Ilham Tower, bangunan kelima tertinggi di Malaysia, untuk mendapatkan pandangannya mengenai pelbagai perkara termasuk masalah hutang isi rumah, petunjuk ekonomi yang membimbangkan; dan masa depan Malaysia.

Ahli politik Umno dan pembangkang sanggup bertemu dengannya, bertahan dengan jawapan ekonominya kepada setiap soalan mereka, berharap ada antara kata-kata yang keluar daripadanya boleh membongkar sedikit ramalannya mengenai pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Lagi pun, beliau orangnya yang memberikan gambaran kekalahan Barisan Nasional (BN) di beberapa negeri pada PRU 2008.

Wartawan akan cuba mendapatkan sesi temu bual penting dengan Daim, rasa yakin yang beliau mempunyai pengetahuan mengenai segala-galanya, dari tarikh PRU akan datang hinggalah ramalan jujur tentang peluang Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan BN dan Najib.

Secara ringkasnya, orang percaya yang bekas menteri kewangan dan jutawan itu masih berada dalam sistem. Mungkin apa yang membimbangkannya sekarang ialah ramai pengatur strategi Najib mula percaya yang beliau orangnya di belakang PH, malah beliaulah penyumbang penting dana kepada pembangkang.

Dalam beberapa bulan lalu, penulis blog pro-Najib memulakan serangan mereka terhadap ahli perniagaan itu, mengaitkannya dengan kerugian besar dialami Bank Negara Malaysia (BNM) disebabkan spekulasi keterlaluan mata wang pada 1990-an. Sekarang terdapat satu kempen mempersoalkan sumber kekayaan dan menggambarkan beliau sebagai kuasa di sebalik parti nyamuk dikenali Parti Bebas Rasuah.

Objektif serangan mereka jelas: Blogger pro-Najib dan penaja mereka mahu Daim bersara sepenuhnya. Tidak berkata sebarang perkara negatif mengenai pentadbiran Najib dan tidak cuba menjadi tangan tersembunyi di sebalik usaha menjatuhkan Najib.

Sesiapa yang biasa dengan Daim mengakui tidak menyukai Najib. Daim percaya pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong hutang dan ia tidak akan dapat dipertahankan. Malah, beliau percaya kerajaan terpaksa meminjam kira-kira 90% untuk membiayai projek pembangunan.

Beliau juga memberitahu pelawat ke pejabatnya walaupun negara mencatat pertumbuhan positif, tiada pekerjaan mencukupi untuk graduan, dengan bilangan graduan menganggur semakin meningkat kira-kira 16%. Bilangan pekerja kurang mahir meningkat manakala peluang pekerjaan pekerja berkemahiran tinggi menurun.

Daim juga berasa perdana menteri yang juga menteri kewangan, tidak mempunyai kepakaran untuk menyelia ekonomi.

Beliau pasti Malaysia sedang menghadapi krisis, di mana terdapat kekurangan integriti dan akhlak di kalangan golongan elit pemerintah, di mana perbuatan rasuah tidak lagi mengejutkan rakyat Malaysia.

Beberapa pihak yang bertemu beliau baru-baru ini mengatakan beliau percaya kerajaan Najib tidak baik untuk Malaysia tetapi seolah-olah tidak mempunyai keyakinan sama ada Dr Mahathir atau PH mempunyai rancangan padu dan boleh dilaksanakan atau bagaimana ia dilakukan untuk memenangi PRU14.

Beliau kesal seolah-olah hanya Dr Mahathir yang berusia 92 tahun sahaja bekerja keras manakala ” nama besar” lain dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebaliknya. Mereka muncul sekali-sekala membuat kenyataan umum tetapi hanya berperanan kecil dalam membina parti baru tumbuh itu dari bawah.

Seorang aktivis sosial berkata Daim pernah menghadiri satu mesyuarat bersama Dr Mahathir tetapi beliau tidak terlibat dan tidak berkata apa-apa semasa sesi itu.

Mereka yang mengenali Daim berkata, tindakan beliau hanya berdiri di belakang dan menyerap semua yang diperkatakan adalah sikap semula jadi ahli perniagaan itu. Beliau juga tidak percaya kepada gerak hati dan lebih suka bergantung kepada bukti empirikal sebelum mencapai sebarang keputusan atau kesimpulan.

Kadang-kala, mereka yang berhadapan kesukaran mempengaruhi Dr Mahathir bagi sesuatu tindakan, akan cuba dan mendapatkan Daim agar memujuk bekas bosnya agar tidak tergesa-gesa dan mendengar cadangan alternatif.

Seorang pengurus bank, yang kerap bertemu Daim memberitahu The Malaysian Insight: “Rasa saya walaupun beliau fikir Najib tidak baik untuk Malaysia, beliau juga tidak mempunyai keyakinan pembangkang mempunyai rancangan untuk menang. Daim yang saya kenali, tidak akan memasuki gelanggang jika beliau tidak pasti hasilnya.”

Veteran Umno yang kerap bertemu Daim juga berkata, hartawan bertubuh kecil  itu bukan penyokong Najib dan percaya perubahan rejim adalah baik.

“Adakah beliau akan menjadi dalang aktif di belakang tabir? Saya rasa tidak.

“Walau apa pun, beliau melindungi dirinya bagi memastikan warisan dan perniagaannya terus kekal,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 24 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen