Dr Mahathir, Nurul gegar Tasek Gelugor


Looi Sue-Chern

SUASANA yang biasanya sunyi di Jalan Gelugor di Pokok Machang, Tasek Gelugor berubah wajah malam tadi apabila kira-kira 3,000 orang berkumpul di padang berdepan banglo milik bekas timbalan menteri pertanian dan asas tani Mohd Shariff Omar.

Mereka berkumpul untuk mendengar ucapan Dr Mahathir Mohamad. Ada yang datang sendirian, bersama kawan dan ada membawa keluarga serta anak. Lebih 1,000 kerusi plastik habis diduduki, sementara ribuan yang lain terpaksa berdiri atau duduk di atas rumput.

Ramai yang tahu tentang isu nasional tetapi masih mahu mendengar apa yang bekas perdana menteri dan pemimpin Pakatan Harapan lain akan cakap pada ceramah bertajuk “Selamatkan Malaysia” itu.

Dr Mahathir, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu seperti biasa berjaya menawan penonton dengan bahasa ucapannya yang tajam dan lucu ketika membelasah bekas partinya Umno dan kerajaan persekutuan berhubung skandal 1MDB.

Bila dia menyindir Perdana Menteri Najib Razak, isterinya dan ahli Kabinet, hadiri ketawa dan bersorak.

Abdullah Kasim, 54, pengundi di Tasek Gelugor berkata mendengar ucapan Dr Mahathir dan pemimpin lain secara langsung lebih baik berbanding hanya bergantung pada cerita yang tersebar.

“Ia buat anda terfikir. Sekarang saya berfikir jika semua yang Dr Mahathir cakap itu palsu, kenapa Najib tidak saman dia?

“Dia panggil dia pencuri (dalam ucapan),” katanya kepada The Malaysian Insight, menambah yang mendengar sendiri ucapan Dr Mahathir dan pemimpin lain mempengaruhi undinya.

“Saya sudah lama jadi ahli Umno, sehinggalah sebentar tadi,” katanya sambil berjalan ke kaunter di mana Bersatu menerima permohonan ahli baharu.

Pemimpin lain yang berucap malam tadi ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden Amanah Husam Musa, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahya dan Shariff, yang kini timbalan pengerusi negeri dan ketua bahagian Bersatu Tasek Gelugor.

Ucapan mereka menyentuh mengenai 1MDB, dakwaan salah urus kerajaan persekutuan yang dikawal BN, penjualan aset kepada warga asing, dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Mereka juga mempertahankan rakan dalam Pakatan Harapan iaitu DAP di mana BN melabelkan parti itu sebagai anti Melayu dan anti Islam untuk menakutkan pengundi Melayu.

Abdullah berkata orang Melayu dengar pelbagai cerita buruk mengenai DAP.

“Ia tidak nampak teruk pada saya. Tidak ada orang mati duduk sebelah orang DAP. Lim Guan Eng jadi ketua menteri dan saya masih boleh cari rezeki.

“Apa yang membunuh kehidupan saya ialah GST,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas ceramah itu, Dr Mahathir berkata rakyat masih memenuhi program ceramah, yang membuktikan mereka tidak bosan dengan politik.

“Mereka berminat untuk menyingkirkan Najib,” katanya.

Berhubung sama ada Bersatu yakin dapat menawan Tasek Gelugor memandangkan ramai yang datang pada ceramahnya, Dr Mahathir berkata: “Kami perlu berada di sesuatu tempat.”

“Tetapi ramai yang datang malam ini, dari seluruh Pulau Pinang. Ada dari Kedah, sejauh Pulau Tuba,” katanya yang juga ketua Bersatu bahagian Langkawi.

Ketika ditanya pendapatnya mengenai Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya dari Umno yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi kerana kenyataannya mengenai tidak salah perogol mengahwini mangsanya untuk menyelesaikan masalah sosial, Dr Mahathir tergelak.

“Itu untuk menggalakkan lagi rogol. Jadi berhati-hati. Bila mereka rasa seperti hendak kahwin, mereka akan merogol,” katanya.

Sementara itu, Nurl Izzah berkata alasan PKR memutuskan untuk menyokong Bersatu di Tasek Gelugor ialah kerana mereka berasakan ahli Parlimen sekarang “tidak layak jadi wakil rakyat”.

“Tidak Islamik untuk mengeluarkan cadangan seperti itu. Ia merugikan masyarakat, dan ia datang daripada bekas hakim mahkamah syariah.

“Kami di sini khusus di Tasek Gelugor untuk memastikan ahli Parlimen seperti itu tersingkir dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya yang juga ahli Parlime Lembah Pantai.

Shabudin membuat kenyataan itu di Dewan Rakyat awal bulan ini. Beliau bagaimanapun berkata media tersilap dalam memetik kenyataannya.

Kontroversi itu menyebabkan pembangkang kini berkempen untuk mengambil alih kawasan Tasek Gelugor yang dipegang BN sejak ia menjadi kawasan Parlimen pada 1986. – 24 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen