Ahli politik rasuah tidak diberi jawatan penting, kata KM Melaka


Seorang ahli politik di Melaka, yang ditahan reman tahun lalu kerana rasuah membabitkan lebih RM150 juta dijangka didakwa tidak lama lagi. – Gambar The Malaysian Insight, 24 April, 2017.

KETUA Menteri Melaka Idris Haron menafikan dakwaan beliau melantik seorang ahli politik yang terbabit dalam kes rasuah berprofil tinggi memegang jawatan penting dalam Umno Melaka, lapor Bernama semalam.

Idris menolak laporan mengenainya yang disiarkan akhbar berbahasa Inggeris, berkata beliau tidak pernah melantik individu berkenaan secara rasmi untuk memegang jawatan penting dalam pentadbiran parti.

“Saya hanya mengarahkan beliau menjalankan pemantauan bagi memastikan kelancaran jentera parti dan beliau tidak terbabit dalam pentadbiran jentera,” katanya kepada wartawan di Tangga Batu selama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan dalam akhbar berkenaan yang beliau melantik seorang pegawai kanan kerajaan bergelar Datuk yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek kerajaan tempatan di Melaka.

“Saya hanya melantik beliau untuk memastikan kerja memasang bendera dan kain rentang BN mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kalau itu pun jadi isu besar, saya tidak tahulah kenapa kerana tugas itu tidak membabitkan kepimpinan atau pentadbiran parti, hanya memantau saja,” katanya.

Seorang ahli politik di Melaka, yang ditahan reman tahun lalu kerana rasuah membabitkan lebih RM150 juta dijangka didakwa tidak lama lagi.

New Sunday Times (NST) melaporkan SPRM tahun lalu menyita lebih RM150 juta dalam bentuk wang tunai, kenderaan, aset dan dokumen daripada ahli politik itu.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM dan dibenarkan diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin. – 24 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen