Pelan induk masyarakat India: Elok atas kertas, kini masanya dilaksanakan


Melati A. Jalil

JIKA dilihat di atas kertas, induk kerajaan untuk pembangunan masyarakat India di negara ini memang mengkagumkan.

Masyarakat India berpendapatan rendah akan berpeluang menerima manfaat daripada suntikan RM500 juta dalam bentuk skim pelaburan unit amanah saham. Lebih ramai orang India akan diberikan tempat di universiti awam, politeknik dan kolej.

Pelajar India yang berdepan masalah kewangan akan diberi dana untuk melanjutkan pelajaran mereka. Tambahan lagi, orang India yang berada di Malaysia sejak sebelum 1957 akan diberikan taraf kerakyatan.

Perdana Menteri Najib Razak berkata kira-kira RM1 bilion akan disediakan bagi pelan induk 10 tahun itu.

Felo Penyelidik Utama Institut Pengajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (Kita) Denison Jayasooria berkata syor yang dibuat sebelum ini bukan dokumen Kabinet menyebabkan mereka tidak ada dana persekutuan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada inisiatif pada 1974 untuk membantu masyarakat India.

“Kali ini, ia berbeza. Ia daripada kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, Jayasooria berkata Putrajaya perlu penuhi janjinya dan memastikan bantuan RM1 bilion itu sampai kepada kumpulan sasaran.

Beliau berkata cara ia akan dilaksanakan menjadi persoalan berikutnya kerana tidak banyak yang dimaklumkan mengenai mekanisme penyampaian dan bagaimana Putrajaya hendak mencapai kumpulan sasaran.

“Pada peringkat Putrajaya, perancangan dasar peringkat mikro cukup untuk tempoh dua hingga lima tahun, sehingga 2020.

“Tetapi mengenai mekanisme penyampaian, mereka tidak beri butiran lengkap bagaimana hendak mencapai kumpulan sasar.

“Setakat ini, semuanya hanya arahan dasar,” katanya.

Beliau berkata tidak banyak garis panduan operasi dinyatakan dan itu yang perlu diusahakan bagi memastikan pelan induk itu berjaya.

“Ya sudah pasti ini lebih baik daripada sebelumnya, tetapi banyak kerja perlu dibuat. Bagi memastikan pelan induk ini dilaksanakan secara berkesan, anda perlu pergi kepada golongan miskin yang tinggal di kuarters atau rumah pangsa. Itulah cabarannya,” katanya. – 24 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen