RCI perlu ditubuhkan untuk siasat kerugian forex BNM


The Malaysian Insight

KETIKA ramai berspekulasi mengenai apa Anwar Ibrahim beritahu pasukan petugas khas minggu lalu mengenai kerugian mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an, satu perkara jelas ialah – hanya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mampu membawa keadilan kepada perkara itu.

Kini bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad secara sukarela mahu memberi keterangan di hadapan pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan. Pasukan petugas khas itu ditubuhkan pada Februari lalu.

“Saya mengalu-alukan pasukan petugas khas itu untuk memanggil saya. Saya sentiasa bersedia,” kata Dr Mahathir kepada wartawan selepas ceramah di Pulau Pinang malam tadi.

The Malaysian Insight difahamkan Putrajaya akan mempertimbangkan RCI selepas ini memandangkan pasukan petugas itu hanya boleh menjalankan siasatan awal berhubung kerugian berkenaan dan mengkaji sama ada wujud perbuatan menutup atau sengaja memberi kenyataan tidak tepat pada masa itu.

“Tidak ada sesiapa boleh dipaksa memberi bukti kepada pasukan petugas khas tetapi RCI boleh berbuat demikian,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight, memetik panel diraja sebelum ini yang menyiasat daripada insiden kejadian mata lebam Anwar hinggalah kejadian terminal penumpang Pulau Pinang roboh.

“Ada perbincangan mengenai penubuhan RCI untuk kerugian BNM tetapi petugas khas ditubuhkan terlebih dulu untuk melihat perkara itu,” kata sumber lain.

Anwar antara yang terawal memberi keterangan kepada panel itu kerana beliau ialah menteri kewangan ketika BNM menanggung kerugian kira-kira RM10 bilion dalam urus niaga mata wang asing antara 1992 dan 1994.

Anwar, yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, mengendalikan Kementerian Kewangan dari 1991 hingga 1998.

Keterangannya didengar oleh tujuh ahli pasukan petugas khas, termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, Pengarah Jabatan Jenayah Komersial Polis Acryl Sani Abdullah Sani, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Ranjit Ajit Singh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, Pengerusi Bersama Pemudah Saw Choo Boon, dan peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Bulan lalu, Sidek berkata petugas khas itu akan membentangkan keputusan kepada Kabinet dalam tempoh tiga bulan, dan pasukan berkenaan akan menumpukan kepada tiga terma rujukan – siasatan awal kerugian BNM berkaitan spekulatif urus niaga wang asing; sama ada wujud perbuatan melindungi kerugian itu; dan sama ada kenyataan mengelirukan mengenai perkara itu dibentangkan di Parlimen.

Isu kerugian urus niaga mata wang asing BNM itu dibangkitkan semula oleh bekas penolong gabenor BNM Abdul Murad Khalid yang berkata kerugian itu lebih banyak berbanding RM9 bilion yang dilaporkan dalam laporan tahunan bank pusat itu pada 1994.

Murad juga mendesak Dr Mahathir bersama Anwar dan seorang lagi bekas kewangan Daim Zainuddin, dipanggil untuk soal siasat berhubung isu itu. Ada juga pihak mendesak Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang supaya memberi keteranga.

Anwar ialah timbalan kepada Dr Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri pada masa itu, ketika BNM aktif dalam spekulasi dalam pasaran urus niaga mata wang asing pada 1980-an.

Kerugian urus niaga mata wang asing itu dilaporkan pada 1991 hingga menyebabkan gabenor BNM pada masa itu, Jaffar Hussein meletakkan jawatan. – 2 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen