Ahli politik Umno Melaka akan didakwa kes rasuah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang ahli politik Umno di Melaka yang ditahan reman tahun lalu kerana kes rasuah membabitkan lebih RM150 juta tidak lama lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2017.

SEORANG ahli politik Umno di Melaka yang ditahan reman tahun lalu kerana kes rasuah membabitkan lebih RM150 juta, dijangka didakwa tidak lama lagi.

New Sunday Times (NST) melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu menyita lebih RM150 juta dalam bentuk wang tunai, kenderaan, aset dan dokumen daripada ahli politik itu.

Ia termasuk RM41 juta wang tunai, RM12.6 juta di dalam akaun bank, 56 hak milik tanah milik Yayasan Melaka di Saba dan enam fail Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) berkaitan projek penambakan tanah, tujuh kenderaan (dua Toyota Vellfires dan masing-masing sebuah Toyota Camry, BMW, Proton Waja, Perodua Myvi dan Proton Exora).

Dua kenderaan pacuan empat roda Toyota FJ Cruiser bernilai RM200,000 setiap satu turut disita.

NST melaporkan ahli politik itu yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian Tangga Batu dilaporkan dilantik memegang jawatan khas dalam partinya pada Rabu. Pelantikan itu difahamkan dibuat selepas Setiausaha Eksekutif Umno Melaka Shamsudin Mehat bercuti kerana masalah kesihatan.

Pelantikan ahli politik itu sebagai setiausaha tugas-tugas khas BN dan Umno negeri diumumkan Ketua Menteri Idris Haron pada persidangan tahunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Klebang Kecil.

Menurut NST, pengumuman itu masih belum dimaklumkan kepada umum.

“Kami hanya minta beliau menjaga rakyat di akar umbi. Tidak ada surat tawaran rasmi dikeluarkan kepadanya dan tiada pelantikan rasmi. Shamsudin dimasukkan ke hospital kerana sakit. Jadi buat masa ini, saya hanya minta beliau menjalankan tugas khas sementara Shamsudin bercuti,” kata Idris dipetik sebagai berkata.

Ahli politik berkenaan berkhidmat sebagai pegawai khas kepada datuk bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah ketika ditahan dan direman pada 28 November tahun lalu.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM dan dibenarkan diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin.

Beliau ditahan 24 jam pada 2 Disember bagi membantu siasatan aktiviti pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001. Beliau diberhentikan daripada majlis bandaraya itu pada Februari dan ditempatkan di pusat khidmat Umno Tangga Batu. – 23 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen