Tak setuju status PR Zakir, Perkasa gesa Subramaniam letak jawatan


Diyana Ibrahim

Presiden Perkasa Ibrahim Ali berkata kerajaan berhak menganugerahkan status PR atau suaka politik kepada sesiapa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2017.

MENTERI Kesihatan Dr S Subramiam digesa meletakkan jawatan jika tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memberi status penduduk tetap (PR) kepada pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik, kata Perkasa.

Presidennya, Ibrahim Ali turut menggesa semua pihak bersikap adil terhadap isu itu kerana terdapat pendakwah bukan Islam turut dibenarkan mempromosikan agama mereka di negara ini, selagi ia tidak mempunyai elemen propaganda.

“Beliau merupakan menteri, keputusan itu dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN). Justeru, jika tidak setuju, patut letak jawatan,” katanya pada sidang media selepas program sidang meja bulat Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, tidak ada perbezaan antara Zakir dan pendakwah bukan Islam lain yang datang ke Malaysia, kerana Zakir hanya berceramah kepada audiens Islam apabila berbicara mengenai perbandingan agama.

“Kita perlu adil. Kami tidak pernah menghalang penceramah agama lain. Saya dimaklumkan ada sami luar yang dijemput untuk memberikan ceramah di Batu Caves. Jadi apa beza dengan Zakir? Apabila Zakir berceramah, ia hanya untuk umat Islam.”

Ibrahim merujuk kepada ucapan Subramaniam, Rabu lalu yang mendakwa sumbangan Zakir kepada memajukan Islam tidak memberi manfaat kepada negara.

“Kami boleh melakukannya tanpa Zakir Naik, kerana beliau melakukannya di luar konteks Malaysia. Di sini, jika anda Buddha, yang anda lakukan dalam konteks Malaysia ... jika anda Hindu, anda lakukan dalam konteks Malaysia,” kata Dr Subramaniam pada ucapan terakhir dialog Transformasi Negara (TN50) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Ibrahim berkata adalah hak kerajaan menganugerahkan status PR atau suaka politik kepada sesiapa kerana Malaysia pernah memberi perlindungan kepada beberapa individu dari Brunei.

“Kenapa beliau tidak mahu balik? Sebabnya kerana takut akan diseksa. Malah di Malaysia pun, apabila Maria Chin dan lainnya ditahan kerana Bersih, ramai yang bimbang kemungkinan polis menyeksa mereka,” katanya.

Minggu lalu, Perkasa menganugerahkan Zakir “Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara” di atas sumbangan beliau terhadap perjuangan Islam. – 22 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen