Bagaimana status Facebook menjadi kebencian kolektif


STATUS Facebook di DrMaza.com yang dikait dengan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin, pada 21 April 2017, yang dinukil sebagai puisi Jumaat (walaupun ia tidak layak ditanggapi sebagai puisi menurut hukum hakam puisi) tercatat begini (maafkan saya menurunkan semula “ayat-ayat penghinaan” ini sebelum mengulasnya):

..apabila yang mempertuhankan lembu bersatu..
lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu..
mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati..
pembakar wanita janda..di benua sana..
ajaran yang mengkastakan manusia..
sedih, sehingga ada yang dipanggil paria..
wajarkah manusia diperlakukan demikian rupa..
betapa menghina insan sesama..
di sini pula tidak pernah mereka berterima kasih kepada apa yang ada..
berpakat mereka membuat angkara..
kita tidak boleh berdiam bahasa..
toleransi dan kesabaran ada hadnya..
puisi pagi Jumaat..

Adalah tidak jelas sejauh mana hubungan mufti tersebut dengan Facebook DrMaza.com. Tercatat di Facebook tersebut kenyataan: “Fanpage ini diuruskan oleh team drmaza.com.

Fanpage ini boleh diakses melalui web Minda Tajdid (www.drmaza.com) serta dihubungkan melalui Twitter @drmazacom. Lain-lain page yang tidak dihubungkan melalui dua medium ini TIDAK DIURUSKAN oleh team drmaza.com’.”

Sehingga artikel ini ditulis, tiada satu penafian direkodkan daripada beliau, Asri.

Kerangka

“Puisi yang bukan puisi” di atas, jika kita mengambil kira Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action 2013 yang ditawarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu adalah jelas jatuh ke dalam kategori “kebencian dan hasutan” dan bukan sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai “kebebasan bersuara”.

Bagaimanakah kita dapat membezakan ia sebagai satu kebencian dan hasutan dan bukannya kebebasan berekspresi?

Sebelum memanjangkan tulisan ini, elok diperlihatkan apa yang terkandung dalam Pelan Tindakan Rabat?

Pelan ini menyediakan, pertamanya, polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian agama secara kolektif.

Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai “kemerdekaan bersuara” dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama secara kolektif.

Kebencian terhadap agama secara kolektif melibatkan;

i. Konteks;
Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran.

ii. Pengucap;
Kedudukan individu pengucap adalah penting untuk dikenal pasti. Secara khususnya apakah individu pengucap itu mewakili mana-mana kumpulan agama yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat.

iii. Niat;
Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak.

iv. Kandungan dan bentuk;
Analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak.

v. Keluasan;
Keluasan ucapan juga dititik beratkan. Dalam konteks ini apakah ucapan tersebut dilakukan secara publik, juga saiz audiensnya apakah kecil atau besar, dan apakah ia berbentuk penerbitan, atau media di Internet atau arus perdana, dan apakah audiens mempunyai akses kepada ucapan atau siaran terbabit.

vi. Potensi risiko.
Hasutan dan fitnah yang menanam kebencian terhadap agama secara kolektif ditentukan berdasarkan potensi risiko yang mungkin terjadi lantaran ucapan atau siaran tersebut. Dalam hal ini ucapan kebencian tersebut selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran.

Analisis

Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, kita dapat memahami “puisi” ini ditulis sebagai satu refleksi kepada isu Dr Zakir Naik yang berada di Malaysia sebagai pemastautin tetap (PR) di tengah-tengah kepanasan yang beliau menjadi buruan ekoran beberapa kes jenayah di India. Pautan mengenai hal ini boleh dilayari di Internet.

Meskipun nama Zakir tidak disebut, mengambil kira latar sosial dan politik ucapan atau “puisi bukan puisi” tersebut di tengah hangat perbincangan mengenai mubaligh Wahhabi dari India ini, kita dapat merumus status Facebook tersebut membincangkan perihal kedudukan Zakir.

Tambahan pula komentar daripada pekongsi status dan juga pembaca status tersebut menjurus kepada Zakir.

Apakah ia ditujukan kepada satu-satu kumpulan sasaran? Ya, ucapan ini adalah untuk mereka yang menolak atau anti Zakir, yang dirujuk sebagai “pendakwah kita dibelenggu”.

Dalam hal ini, ayat i. “..apabila yang mempertuhankan lembu bersatu..”; ii. “mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati..”; iii. “pembakar wanita janda..di benua sana..ajaran yang mengkastakan manusia..sedih, sehingga ada yang dipanggil paria..” lebih merujuk kepada masyarakat beragama Hindu, dan etnik India yang boleh dihujahkan di India (di benua sana).

Pelan Tindakan Rabat seterusnya menyoal apakah kedudukan individu pengucap, jika benar ia datang daripada Asri, maka kedudukan beliau adalah seorang mufti, pendakwah agama Islam, dan seseorang yang memperagakan dirinya sebagai ilmuwan Islam.

Oleh itu, kedudukan pengucap adalah cukup “wibawa”, bermakna ia sesuatu yang bukan main-main, dan bukan datangnya daripada orang awam atau orang biasa. Oleh itu, status Facebook ini menjadi lebih berat dari segi nilai negatifnya.

Apakah terdapat niat untuk menyebar kebencian secara kolektif? Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus.

Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak.

Jika diperhatikan, ayat i. “di sini pula tidak pernah mereka berterima kasih kepada apa yang ada..”; ii. “berpakat mereka membuat angkara..” dan, iii. “kita tidak boleh berdiam bahasa..” menggambarkan ia bukan sesuatu yang tidak sengaja.

Malah terdapat penekanan ayat “toleransi dan kesabaran ada hadnya..”. Juga ayat “puisi pagi Jumaat..” menunjukkan ia bukan sesuatu yang tidak dilakukan tanpa terurus.

Seseorang yang “menulis puisi” atau penyair (dalam hal ini si pengucap mengaku ia puisi) mengalami proses kedatangan ilham, pengeraman idea di mana idea tersebut dipertengkarkan wajar atau tidaknya, proses pematangan (bait puitis ditulis dengan waspada) dan proses mengarang.

Proses akhir sebuah puisi adalah penyuntingan, iaitu seorang penulis memilih kesesuaian ayat yang digunakan. Oleh itu, ayat “puisi pagi Jumaat..” dalam puisi di atas adalah bukti ia sesuatu yang diniatkan, dan disengajakan.

Untuk mengenal pasti apakah “puisi Jumaat” ini satu kebencian secara kolektif kita wajar pula menilai kandungan dan bentuk; yang mana analisis kandungan dan bentuk ucapan sangat penting dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia.

Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak. Oleh kerana ia tidak bersifat akademik, yakni tiada fakta dan rujukan atau sandaran, ia tidak dapat dihujahkan sebagai satu alasan “perbandingan agama”.

Ayat “kita tidak boleh berdiam bahasa..” tidak syak lagi berbau provokasi tambahan pula ada ayat “toleransi dan kesabaran ada hadnya..”.

Ini bermakna, ayat di atas dapat ditafsirkan sebagai; hujah dan wacana, dialog dan perbincangan tidak lagi dapat diperkirakan kerana pengucap mengatakan dengan tegas “tidak boleh berdiam” dan “kesabaran ada hadnya”.

Kebencian secara kolektif juga menitik beratkan keluasan ucapan. Kita tahu status tersebut dilakukan secara publik, saiz audiensnya adalah besar (sehingga artikel ini ditulis, selepas sembilan jam ia diterbitkan ia mempunyai lebih 4.5 ribu “suka” dan dikongsi 614 pemilik akaun Facebook).

Akan tetapi apakah status ini “lebih merujuk” kepada masyarakat beragama Hindu di India yang boleh dihujahkan di India sahaja (dalam status Facebook itu disebut “di benua sana”)?

Tidak semestinya.

Tentu sahaja hubungan genetik penganut Hindu di India, dan Malaysia akan perlu diperhitungkan.

Salah seorang pekongsi status Asri bernama Kayathri Shammugam mengulas “Hindus don’t worship cows! We respect, honour and adore the cow (fact).We have to respect one another and accept our differences to live peacefully”.

Ia bermaksud “Penganut Hindu tidak menyembah lembu! Kami menghormati, dan menyanjung lembu (fakta). Kita perlu menghormati satu sama lain dan menerima perbezaan untuk hidup aman bersama.”

Sementara Dhesegaan Ravi yang tersinggung memuatkan naik status berbunyi “Biarlah kami sembah api , sekurang-kurangnya kami tak mengapi-apikan orang dengan nama agama. Kalau kami pandai kastakan orang, tuan lagi hebat kafirkan orang. Maaf tuan, ini bukan caranya tegakkan iman.”

Terdapat pekongsi status beragama Islam dan Melayu yang tidak senang dengan “puisi” tersebut.

Azam Reno CH sebagai contoh mengatakan “Untuk mempertahankan penceramah ‘terrorist’, mufti pun kutuk agama Hindu.”

Darul Ithmi dalam status Facebooknya pula menyebut, “Sama je la level bangang Maza ni dengan kebanyakan Muslim lain. Nampak sangat Zakir Naik ni bukannya simbol penyatuan agama, tapi menggalakkan orang lain, secara tak sedar, walaupun dalam kalangan yang konon-konon ‘celik’, menghina kepercayaan orang lain.”

Status kebencian

Adakah ia, puisi bukan puisi di atas berpotensi menimbulkan bahaya.

Ya.

Ini kerana terdapat banyak juga status perkongsian puisi ini yang menyokong beliau dan alasan pendokongan adalah “beliau seorang agamawan” yang menunjukkan kebencian secara kolektif berlaku.

Status perkongsian Mohammad Fairuz Afandi berbunyi begini “Solidariti Dr Zakir Naik.. Inilah jalan dakwah.. Senantiasa akan dikecam.. Semoga Allah merahmatimu.”

Azam Hazami menulis “Well said Dr Maza…pttlah mereka ini hitam sehitam hati mereka…Allah Maha Besar, br aku tau knp?….”

Sementara Jebat Mohamad mencatat “Kawan, jangan cuba bermain api, jangan hina ulama kami, jangan duga kesabaran kami, jangan cabar kami.”

Nor Rizam Mazlan pula saat berkongsi ‘puisi Jumaat’ menyatakan “Terima Kasih tuan. Sudah lama saya berharap ada orang berautoriti dalam agama menyatakan perkara sebegini…Terima kasih sekali lagi DrMAZA.com…Moga Allah berkati tuan.”

Putera Azmi mencatat “Tugas orang Islam melindungi saudara Muslinya bukan bersekongkol menyerahkan kepala saudaranya kepada golongan penyembah berhala, pengamal kasta terburuk di dunia.”

Turut berkongsi status adalah Muhammad Zairi Zakaria yang menyatakan, “Sama-sama kita pertahankan saudara kita Dr Zakir Naik yg juga mempunyai status penduduk tetap di Malaysia. Jangan kita serahkan dia pada negara kafir harbi penyembah lembu.”

Adalah jelas status Facebook yang diperlihatkan di atas merupakan satu seruan kebencian berbahaya, dan jika dianalisis menurut Pelan Tindakan Rabat 2013 anjuran PBB bersifat menghasut.

Alasan ia sebuah “puisi” menjadikan ia lebih kukuh berbau hasutan, dan mengendurkan hujah mendatang ia adalah satu “kebebasan bersuara”.

Maka tidaklah menghairankan terdapat komentar di bawah status tersebut berbunyi antara lain:

i. Ingatkah kita sebuah kisah hari yg sedih penuh sejarah….. Di ayuthia Bumi Islam India…. Masjid babri hancur dan musnah….. dulu babri indah tersergam…. menjadi lambang perjuangan Islam tapi kini sudah tiada dihancur rakus kafir durjana…(oleh Chung Reen).

Sayugia diingatkan, perihal Masjid Babri boleh menyebabkan pertumpahan darah kerana kerobohan Masjib Babri di Ayodhya India pada 6 Disember 1992 mengakibatkan rusuhan agama dengan korban lebih dua ribu orang.

Harus diingatkan kejadian tragis tersebut berlaku di India dan sepatutnya menjadi sempadan untuk umat Hindu dan Islam di Malaysia agar menghindari sebarang bibit permusuhan seperti ini.

ii. Ramai warga yg dahulunya pekerja lombong dan estate diberi warganegara sekarang mahu jadi kaduk naik junjung..Masukkan Akta ISA semula..demi kebaikan semua yg mahukan keamanan…(oleh Belajar Dan Hijrah)

Komentar beliau menunjukkan status Facebook di DrMaza.com tersebut membangkitkan rasisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

iii. Ada kalanya,menghunus pedang lebih baik daripada mengeluarkan kata-kata. (oleh Azhar Jahar)

Komentar sangat berbahaya ini memaparkan betapa status “puisi Jumaat” berkait mufti Perlis ini membenih kebencian secara kolektif dan boleh bertukar arah menjadi liar.

Rumusan

Saya berpendapat “puisi pagi Jumaat” ini mempunyai satu asas yang sama dengan novel The Satanic Versus oleh Salman Rushdie, dan kartun ‘Nabi Muhammad’ oleh Charlie Hebdo.

Persamaan yang asas itu ialah seseorang, atau satu organisasi menggunakan lesen pengaruh dan wibawa yang ada untuk melakukan penghinaan ke atas agama (dan lebih penting, penganut agama) lain.

Pada sesi United Nations yang ke-25 iaitu pada 11 Mac 2014, Profesor Dr Heiner Bielefeidt, “Special Rapporteur on freedom of religion or belief” ketika itu menegaskan kebencian terhadap agama secara kolektif bukan sesuatu yang alamiah tetapi adalah sesuatu yang boleh dielakkan.

Kita tidak harus terkeliru isu berkait Zakir adalah isu jenayah di India di mana terdapat dakwaan beliau membenihkan keganasan, dan penggubahan wang haram. Sama ada benar atau tidak bukan soalnya di sini.

Adalah tidak berbaloi untuk rakyat Malaysia yang rencam kaum dan agama bertelagah, apatah lagi bermusuhan semata-mata kerana mempertahankan seorang warga India yang kontroversial dengan dua waran tangkap. Kesejahteraan warga Malaysia semua kaum dan agama lebih wajar dilindungi.

Status Facebook dengan kebencian terkait Asri ini sama sekali menyalahi Islam kasih sayang yang dianjurkan Rasulullah.

Saidina Ali, dalam surat kepada gabenornya Malik Asytar di Mesir menyatakan “manusia adalah saudara seagama kamu, atau berstatus manusia seperti kamu juga”.

Justeru maruah diri, kesetaraan, kemerdekaan dan persaudaraan sesama manusia hendaklah ditekankan. – 22 April, 2017.

Mohd Faizal Musa

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen